Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Ayahanda’, pengikut kumpulan Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi ditahan

Nov 10, 2025 | 12:50 PM
ajaran, sesat, Jemaah Nuh
Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) merampas tongkat, ikatan kain kuning dan kain hitam yang didakwa boleh memberi kekayaan serta batu dililit kain kuning. - Foto HARIAN METRO

KUANTAN (Pahang): Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menahan ketua dan tujuh pengikut kumpulan ‘Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi’ kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan ajaran sesat.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, berkata mereka ditahan hasil serbuan di bekas gudang perabot yang dijadikan tempat tinggal di Kampung Sungai Putat, di Pulau Tawar, Jerantut, pada 2.30 petang November 7.

Menurutnya, menerusi serbuan itu, pelbagai dokumen disyaki bertentangan dengan ajaran dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta barangan dipercayai berunsur khurafat dirampas.

Katanya antara dirampas ialah tongkat, ikatan kain kuning dan kain hitam yang didakwa boleh memberi kekayaan serta batu dililit kain kuning.

“Turut dirampas kertas tertulis cara niat solat jamak fardu seumur hidup, nota lafaz selawat dan ikrar meragukan.

“Berdasarkan penemuan dokumen dan barangan itu, kumpulan itu disyaki terbabit dengan amalan atau fahaman bertentangan dengan ajaran serta fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Semua rampasan akan dirujuk kepada Jabatan Mufti Pahang untuk penelitian lanjut,” katanya menerusi kenyataan pada 9 November.

Datuk Ahmad Khirrizal berkata hasil siasatan awal, ketua kumpulan terbabit berusia 45 tahun berasal dari Kampung Sungai Tekam Utara, Jerantut.

Menurutnya, lelaki terbabit digelar ‘Ayahanda’ oleh pengikutnya dilaporkan menyewa bekas gudang perabot itu dan diubah suai menjadi tempat tinggal kumpulan terbabit sejak lebih dua tahun lalu.

Katanya premis dilengkapi bilik penginapan, ruang tamu serta surau turut dihuni isteri ketua kumpulan terbabit berusia 45 tahun, empat anak mereka berusia antara lapan dan 15 tahun.

“Hasil soal siasat pengikut kumpulan terbabit berusia antara 45 hingga 66 tahun, berasal berasal dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor serta Melaka.

“Siasatan sedang dilakukan sejak bila kegiatan itu wujud dan mengesan individu lain disyaki terbabit dengan kumpulan berkenaan.

“Semua suspek ditahan tidak mempunyai rekod kesalahan syariah tetapi polis sedang menyemak rekod jenayah mereka,” katanya lapor Harian Metro.

Datuk Ahmad Khirrizal berkata Jaip meminta orang ramai mempunyai maklumat mengenai kegiatan kumpulan itu tampil membantu siasatan dan bekerjasama membanteras kegiatan bercanggah dengan ajaran Islam.

Ketua dan ahli kumpulan terbabit disiasat mengikut Seksyen 18, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 kerana memiliki serta menyimpan dokumen, buku dan majalah bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun dan denda tidak melebihi RM3,000 ($937) atau keduanya sekali.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 19, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 kerana tidak menunaikan solat Jumaat.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga setahun dan denda tidak melebihi RM2,000 atau keduanya sekali.

Semua suspek dibebaskan pada 8 November dengan jaminan pegawai penguat kuasa Jaip sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan untuk didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Jerantut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg