Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan Johor tegas banteras ajaran sesat

Polis diarah siasat video tular
Aug 29, 2025 | 4:36 PM
Datuk Onn Hafiz Ghazi
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

Kerajaan Johor menegaskan tidak akan bertolak ansur dalam menangani isu ajaran sesat yang tular di Parit Raja, Batu Pahat, kerana ia menimbulkan keresahan masyarakat dan boleh menggugat akidah umat Islam di negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan segera melaksanakan siasatan serta tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang.

“Segala bentuk khurafat, tahyul, pemujaan salah atau ritual yang bercanggah dengan syariat Islam adalah dilarang sama sekali dan boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

“Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menggugat keharmonian serta kedaulatan agama Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada 29 Ogos.

Terdahulu tular satu video selama seminit di media sosial yang memaparkan ritual dipercayai berkaitan kuda kepang yang dikaitkan dengan amalan syirik di Batu Pahat.

Video berkenaan memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita berkumpul sambil melakukan ritual diiringi paluan gong dan alunan muzik.

Kelihatan juga dua lelaki seperti mengalami kerasukan, manakala peserta lain dipercayai sedang menyembah sesuatu.

Sementara itu, Datuk Onn turut menyokong saranan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang mengingatkan umat Islam di Johor agar berpegang pada akidah murni dan menolak sebarang ajaran songsang.

Pada masa sama, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, turut menegaskan agar institusi agama, kepimpinan masyarakat dan pihak berkuasa memperkukuh penguatkuasaan serta pendidikan demi memastikan kesejahteraan umat Islam sentiasa terpelihara.

“Saya menyeru seluruh Bangsa Johor, khususnya para penghulu, ketua masyarakat, penggerak masjid serta semua pihak berkuasa agar berganding bahu memastikan ajaran sesat dihentikan sepenuhnya.

“Sebaliknya, marilah kita memperkukuh kegiatan kerohanian, pendidikan, kesenian dan kebudayaan yang selari dengan Islam.

“Ini demi memperteguh kedudukan Johor sebagai negeri berdaulat yang sentiasa memelihara agama, bangsa dan tanah air,” kata Datuk Onni.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, menegaskan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij) menyokong penuh usaha Kerajaan Johor dalam memastikan akidah umat Islam sentiasa terpelihara.

“Maij tekad memastikan semua jabatan dan agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama Islam Johor menyokong dan sama-sama menggerakkan usaha ini dalam menjaga kemuliaan Islam sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau menegaskan keutamaan menjaga akidah umat Islam adalah amanah besar yang akan terus dipertahankan demi keharmonian negeri itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg