Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bangkai paus 10 meter terdampar di pantai Pahang

Feb 25, 2025 | 11:32 AM
Bangkai ikan paus yang ditemukan terdampar dekat Pantai Kampung Sungai Miang, di Pekan, Pahang, pada 24 Februari. 
Bangkai ikan paus yang ditemukan terdampar dekat Pantai Kampung Sungai Miang, di Pekan, Pahang, pada 24 Februari.  - Foto FACEBOOK IQBAL ADZRIN 

PEKAN (Pahang): Bangkai seekor ikan paus dianggarkan berukuran lebih 10 meter panjang ditemukan terdampar di Pantai Sungai Miang, dekat Pekan, Pahang, pada 24 Februari.

Bangkai haiwan daripada kumpulan mamalia laut itu yang sudah mereput dan sebahagiannya terbenam di dalam pasir, dijumpai nelayan kira-kira 4 petang, yang pada awalnya menyangkakan ia adalah bongkah kayu besar.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam satu kenyataan memaklumkan Jabatan Perikanan Pahang menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan bangkai paus yang terdampar di pantai itu.

“Bertindak atas maklumat, pasukan daripada Pejabat Perikanan Pahang bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang (RA), Terengganu, telah turun ke lokasi untuk meninjau keadaan bangkai berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bangkai paus itu telah lama mereput, menyebabkan kesukaran dalam proses pengecaman spesies.

“Oleh itu, pasukan itu akan mengambil sampel bagi menjalankan analisis eDNA (environmental DNA) untuk menentukan spesies dengan lebih tepat,” menurut kenyataan itu, lapor Astro Awani.

DOF menjelaskan berdasarkan keadaan bangkai mamalia itu, spesies yang dianggarkan adalah daripada jenis Bryde atau Fin.

Terdahulu, tular satu video selama 16 saat termasuk beberapa gambar yang menunjukkan bangkai seekor ikan paus terdampar di tepi pantai yang dikongsi pemilik akaun Facebook Iqbal Adzrin.

Sebelum ini pada 20 Februari 2024, seekor paus seberat 80 kilogram pernah ditemukan terdampar di Kampung Tanjung Batu, Pekan.

Ikan paus berukuran kira-kira tiga meter panjang itu dipercayai jenis Odontocete atau ikan paus bergigi berdasarkan fizikal giginya, hanya ada pada rahang bawah dan badan yang panjang.

“Pihak DOF ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat mengenai penemuan ini. Kerjasama sebegini amat penting dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hidupan marin di perairan Malaysia.

“Untuk makluman, di bawah Akta Perikanan 1985, spesies paus dilindungi di bawah peruntukan berkaitan spesies marin terancam.

“Oleh itu, sebarang gangguan atau eksploitasi terhadap paus adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” kata kenyataan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg