KOTA TINGGI: Dua remaja menjadi korban pertama banjir di Johor selepas ditemukan lemas dalam parit, di Kampung Perpat, Kuala Sedeli, pada tengah hari 10 Januari.
Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 15 dan 18 tahun dilaporkan mandi bersama beberapa rakan dalam parit yang dipenuhi air banjir.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata kedua-dua mangsa pada mulanya cuba diselamatkan rakan yang lain dengan pertolongan penduduk kampung.
“Usaha mencari mangsa oleh penduduk gagal kerana dihanyutkan arus dan kedua-dua mangsa hanya ditemui setelah lemas,” katanya, lapor portal Buletin TV3 pada 10 Januari.
Menurut Superintenden Hussin, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Beliau turut mengingatkan orang ramai khususnya mangsa banjir agar lebih berhati-hati dan tidak bermain air banjir kerana ia boleh mengundang bahaya.
Sementara itu, Batu Pahat menjadi daerah terkini dilanda banjir di Johor menjadikan jumlah mangsa meningkat kepada 8,172 orang membabitkan 2,244 keluarga di 55 pusat pemindahan sementara (PPS).
Pahang yang turut dilanda banjir merekodkan pertambahan jumlah mangsa kepada 1,501 orang daripada 428 keluarga yang kini berlindung di 22 PPS.
Berdasarkan laporan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat 4 petang 10 Januari, Kota Tinggi menyaksikan pemindahan mangsa paling ramai dan meningkat kepada 4,739 orang daripada 1,290 keluarga yang dipindahkan ke 26 PPS.
Daerah Johor Bahru turut mencatatkan penambahan jumlah mangsa kepada 1,977 orang daripada 536 keluarga di 12 PPS, manakala Kluang meningkat kepada 1,308 orang daripada 386 keluarga di Sembilan PPS.
Di Segamat, Kulai dan Pontian pula jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas di tiga daerah berkenaan mencecah 200 orang daripada 56 keluarga.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turun meninjau PPS Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, pada 9 Januari, mengarahkan projek tebatan banjir di Kota Tinggi bernilai lebih RM700 juta ($200.71 juta) disiapkan lebih awal berbanding jangkaan pada 2030.
Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran serta kontraktor yang dilantik telah diarahkan menyiapkan projek berkenaan lebih awal dari tarikh dijadualkan siap bagi mengatasi banjir yang berlaku saban tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg