Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir di Perlis: Keluarga S’pura selamatkan nyawa, tinggalkan harta

Redah kegelapan malam selamatkan diri daripada banjir yang jejas rumah mereka di Perlis
Nov 26, 2025 | 6:47 PM
banjir, Singapura, keluarga, Perlis
Shaikh Taufiq AlKhatib bersama dua orang anak lelakinya meredah banjir dalam perjalanan pulang ke hotel tempat mereka menginap buat sementara waktu, bersama pakaian dan kucing peliharaan mereka. - Foto ILI NADIAH ILYAS

Disangka panas hingga ke petang, rupanya banjir pula yang melanda.

Begitulah nasib yang menimpa sebuah keluarga Singapura yang menetap di Kangar, Perlis.

Walaupun hanya terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Hat Yai yang dilanda bah, pasangan Shaik Taufiq Alkhatib, 38 tahun; dan Cik Ili Nadiah Ilyas, 35 tahun; yang telah menginap di Kangar, Perlis sejak Mei 2025, sama sekali tidak menyangka akan menghadapi bencana serupa.

Pada malam 24 November, hujan yang terus mencurah tanpa henti, menimbulkan kebimbangan dalam diri keluarga itu.

Paras air terus meningkat dan ia memaksa keluarga empat beranak – suami isteri bersama dua anak lelaki – membuat keputusan untuk segera berpindah.

Mereka hanya membawa barangan keperluan asas, dan meninggalkan kesemuanya dengan arus air yang semakin naik.

“Kami hanya dapat selamatkan barang-barang penting dan perkakas elektronik yang kecil, termasuk duit, pasport dan sedikit pakaian.

“Kami juga disuruh mematikan kotak elektrik untuk elakkan kebakaran.

“Perkakas elektrik lain seperti peti ais dan mesin basuh sudah tentu rosak,” kata Cik Ili, kepada Berita Harian (BH), dari sebuah hotel tempat mereka mencari perlindungan buat masa ini.

Menurut Cik Ili, beliau tidak menyangka kawasan rumahnya akan terjejas dek banjir, apatah lagi Perlis dikenali sebagai kawasan kering dan digelar negeri ‘paling panas’ di Malaysia.

“Setahu saya, kali terakhir banjir berlaku di Perlis ialah pada 2010, sebelum penambahbaikan Empangan Timah Tasoh,” terangnya.

Menceritakan detik-detik cemas menghadapi bencana itu, Cik Ili berkata beliau dan suami pada awalnya mendapat berita kawasan utara negeri itu seperti Wang Kelian dan Padang Besar, yang terletak tidak jauh dari rumah mereka, telah dilanda banjir.

“Pada 8 malam, saya sedar air sudah mula naik dan masuk ke rumah hingga ke paras buku lali,” katanya yang telah memuat naik gambar-gambar dan video pengalaman mereka di Instagram miliknya.

Encik Taufiq segera memindahkan kereta mereka ke paras lebih tinggi dan berusaha menyelamatkan barang-barang rumah.

“Kaki kami mula kebas dan kepenatan kerana terendam lama dalam air. Kami tidak ada tempat untuk duduk atau berehat,” jelas Encik Taufiq.

Keluarga itu akhirnya keluar dari rumah mereka pada 12.30 malam untuk menginap di hotel berdekatan.

Dalam keadaan gelap-gelita, dan air yang telah mencecah paras paha, keluarga itu memikul barangan sambil memimpin dua anak kecil.

Perjalanan meredah air bah ke hotel terdekat mengambil masa hampir setengah jam, walaupun biasanya memakan masa seminit dua dengan kenderaan.

“Kami memilih hotel itu kerana ia tidak terjejas dengan banjir, selain jaraknya dekat dengan rumah kami, memudahkan kami berulang-alik untuk mengambil barang keperluan,” kata Cik Ili.

Keluarga itu turut mengehadkan makanan seharian ke satu atau dua kali sehari, sebagai langkah berjimat cermat.

Cik Ili mendedahkan mereka terpaksa bertindak sendiri kerana arahan rasmi daripada pihak berkuasa, yang disiarkan di media sosial dan laman rasmi, tidak sampai kepada mereka.

“Sejujurnya, ini adalah pengalaman pertama kami menghadapi situasi sebegini.

“Kami keliru tentang jabatan atau laman rasmi mana yang perlu kami ikuti (atau rujuk). Semua penduduk di kawasan perumahan kami terpaksa membuat keputusan untuk berpindah secara sendiri,” katanya.

Menghadapi rintangan dan cabaran bukanlah perkara asing bagi keluarga yang memilih untuk mendidik anak-anak mereka di Perlis.

Anak-anak mereka pula dikatakan “sangat bekerjasama, membantu dan teruja mengemukakan idea”.

“Mereka sudah biasa dengan hidup mengembara dan sama sekali tidak gentar,” terang Cik Ili yang juga merupakan guru sepenuh masa untuk mereka yang bersekolah di rumah atau ‘home-schooling’.

Menurut Cik Ili, Encik Taufiq pula lebih tenang, menguruskan keadaan dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan keluarganya.

Pada waktu ini, tumpuan segera keluarga itu adalah membersihkan rumah mereka daripada air dan serpihan kotoran, serta mengganti perkakas elektrik yang dijangka rosak setelah keadaan reda dan air bah surut.

“Walau apa pun keadaannya, kami sangat bersyukur kerana kami tidak mengalami sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

“Kami punyai makanan dan minuman yang mencukupi, serta pakaian yang cukup untuk bertahan,” kata Cik Ili.

Namun, didorong rasa tanggungjawab sebagai penduduk Singapura di sana, keluarga itu merancang usaha mengumpul dana untuk membantu penduduk tempatan yang lebih teruk terjejas.

“Bantuan yang kami ingin hulurkan merangkumi perkhidmatan penting seperti penyewaan jentera berat, perkhidmatan pembersihan jet air tekanan tinggi, dan pelupusan serpihan dan sampah yang cekap, dengan penyelarasan rapi bersama pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berharap rakyat Singapura dapat menyalurkan dana bagi meringankan beban mangsa banjir di Perlis.

Mereka yang berminat untuk membantu, boleh menghubungi Cik Ily Nadiah di IG @ilinilyas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg