Topic followed successfully
Go to BHkuBapa kenang detik terakhir anak sebelum hilang di longkang Puncak Alam
Bapa kenang detik terakhir anak sebelum hilang di longkang Puncak Alam
Bapa kenang detik terakhir anak sebelum hilang di longkang Puncak Alam
KUALA SELANGOR: “Anak cakap ‘nak pergi jauh’...”
Itu yang dimaklumkan Encik Khaizalullinordin Nordin, 45 tahun, mengenai anak kesayangannya, Khairil Izani, 10 tahun, yang hilang selepas terjatuh ke dalam longkang di Lorong Cakera Purnama 12/27, Bandar Puncak Alam, di sini, ketika hujan lebat pada 28 April.
Katanya, Khairil Izani memberitahu demikian sambil tersenyum kepada pengawal keselamatan apartmen yang menyapa sebelum kejadian.
Pemandu lori itu berkata, kali terakhir beliau berjumpa anak sulung daripada tiga beradik itu ketika mengejutkannya untuk bersiap ke sekolah sekitar 6.30 pagi 28 April.
“Selalunya saya hantar dia ke sekolah, tetapi semalam dia memilih untuk berjalan. Selain itu, dia juga tidak salam dan cium saya seperti biasa. Saya hanya tahu kejadian selepas dihubungi adik lelaki yang memaklumkan anak gagal ditemui, mungkin lemas.
“Saya bergegas pulang dan sebaik tiba di lokasi, segera melakukan pencarian bersama adik-beradik serta rakan-rakan,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di tempat kejadian pada 29 April.
Tidak putus-putus berdoa dan berharap ada keajaiban, Encik Khaizalullinordin berkata beliau tidak menyangka kegembiraan mereka sekeluarga menyambut hari kelahiran Khairil Izani pada 26 April lalu akan menjadi memori akan dikenang selamanya.
“Kami raikan di rumah saudara di Kajang dan kebetulan hari lahir anak bersamaan dengan salah seorang bapa saudaranya.
“Waktu itu, dia kelihatan sangat gembira dan ceria selain berselera makan. Malah, anak juga sempat menggunting rambut bersama adiknya,” katanya, berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari Khairil Izani.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Encik Ahmad Mukhlis Mukhtar, dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.47 malam sebelum menghantar sepasukan enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya ke lokasi.
Setakat 4 petang 29 April, usaha mencari dan menyelamat (SAR) murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 3 itu masih berjalan.
