Topic followed successfully
Go to BHkuBapa murid 8 tahun maut dilanggar van di Johor maafkan pemandu van
Bapa murid 8 tahun maut dilanggar van di Johor maafkan pemandu van
Bapa murid 8 tahun maut dilanggar van di Johor maafkan pemandu van
BATU PAHAT: “Kepada pak cik (pemandu van) yang melanggar anak saya, tidak mengapa, saya sudah memaafkannya,” kata Encik Ahmad Fareez Khalid, 39 tahun, bapa kepada Nur Aini Umairah, 8 tahun.
Arwah Nur Aini Umairah adalah murid Tahun Dua yang maut dilanggar di hadapan pintu pagar utama sekolahnya ketika sedang menunggu dijemput ibunya pulang.
Menurut Encik Ahmad Fareez, beliau sudah menerima ketentuan Ilahi atas kejadian itu sekali pun kehilangan salah seorang anak, lapor Berita Harian Malaysia.
“Sesuatu yang berlaku sudah tentu ada ketetapan, jadi kalau kita hendak menyalahkan seseorang pun tak boleh juga... siapa nak bunuh orang?
“Untuk pak cik melanggar anak saya, saya sudah memaafkannya.
“Saya reda kerana setiap yang hidup ini sudah ada ketetapan dari Ilahi,” katanya ditemui ketika menuntut jenazah anak sulung daripada dua beradik di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), pada 6 Mei.
Dalam pada itu, Encik Ahmad Fareez meminta orang ramai agar tidak menyalahkan pemandu van terbabit kerana kejadian itu berlaku di luar jangkaan.
“Permintaan saya ialah janganlah marah pada pak cik itu. Kalau kami sebagai ibu bapa sudah reda, takkan nak marah dia lagi... kasihanilah pak cik itu,” katanya.
Ditanya mengenai Nur Aini Umairah, Encik Ahmad Fareez berkata arwah anak yang baik dan sentiasa ceria sepanjang masa.
“Tapi apabila sampai satu tahap ini (kehilangan), ibu bapa pasti sedih.
“Kami ‘lepaskan’ Nur Aini Umairah dengan tenang, mudah-mudahan Allah swt merahmatinya.
“Arwah gemar bersolek, kadang-kadang dia tengok YouTube dan dia tiru cara solekan.
“Kali terakhir arwah solek saya ketika kami membawanya berjalan-jalan ke Melaka minggu lalu.
“Itulah kali terakhir dan selepas ini, segala-galanya akan menjadi kenangan,” katanya yang cuba menahan sebak.
