BATU PAHAT: Seorang murid berusia lapan tahun maut selepas dilanggar sebuah van menghantar barang dalam kejadian di depan pintu pagar sebuah sekolah di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, pada 5 Mei.

Lebih menyayat hati, kejadian itu berlaku hanya beberapa minit sebelum ketibaan ibu mangsa, Cik Asmilah Tukiran, 37 tahun, untuk menjemput Nur Aini Humairah, murid Tahun 2 Sekolah Kebangsaan Seri Maimon itu, pulang sebaik sesi persekolahan tamat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Penolong Pesuruhjaya Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu berlaku ketika van dipandu lelaki itu bergerak keluar dari dalam kawasan sekolah setelah selesai menghantar barang.

“Semasa bergerak keluar melalui pintu pagar utama, van terbabit melanggar mangsa yang sedang berjalan di depan pintu terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami cedera parah di kepala serta organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Klinik Kesihatan Parit Sulong,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Sementara itu, Cik Asmilah terkilan lewat tiba di sekolah untuk menjemput anak perempuannya itu dan tidak dapat menyembunyikan kesedihan kehilangan Nur Aini Humairah buat selamanya.

“Saya terlewat hanya beberapa minit sebelum melihat anak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Cik Asmilah berkata kelewatan itu disebabkan kerana perlu menyiapkan anak bongsunya, Ahmad Sufi Mohd Fareez, 5 tahun, yang baru pulang dari prasekolah tidak jauh dari rumahnya pada 12.30 tengah hari.

Menurutnya, pada ketika itu, beliau memandikan serta menukarkan pakaian anak bongsunya sebelum keluar semula untuk mengambil Nur Aini Umairah, kira-kira 10 minit kemudian.

“Apabila saya tiba di depan pintu pagar sekolahnya, saya ternampak orang ramai berkerumun. Hati saya tertanya-tanya siapa yang mereka kerumun.

“Saya terdengar ada murid lain bercakap dan menyebut nama ‘Aini’. Saya terus berjumpa guru untuk bertanyakan siapa yang sedang terbaring kaku.

“Bila cikgu beritahu murid itu adalah anak saya, badan saya terus lemah. Saya tidak sanggup melihat jenazahnya kerana keadaan sangat parah,” katanya.

Cik Asmilah mengakui masih belum kuat untuk melalui ujian itu memandangkan baru setahun kehilangan dua insan tersayang iaitu ibu dan neneknya pada Januari 2025.

Dalam pada itu pemandu van terbabit iaitu seorang lelaki berusia 60 tahun telah ditahan reman sehingga 8 Mei bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan atas kesalahan memandu secara melulu atau bahaya hingga menyebabkan kematian.

Encik Shahrulanuar berkata dalam kejadian itu, pemandu van terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.