ALOR SETAR (Kedah): Jenazah tiga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra yang maut dalam kemalangan di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan selesai dibedah siasat pada Khamis malam dan dibawa pulang untuk pengebumian.
Allahyarham Muhammad Arif Aifan Derani, 19 tahun selesai bedah siasat pada 9.04 malam dan jenazahnya dibawa pulang ke kampungnya di Bukit Selambau, Sungai Petani, diikuti Allahyarham Muhammad Habil Mohd Sobri, 19 tahun, yang dibawa pulang ke kampungnya di Gurun.
Allahyarham Muhammad Fahmi Jamel, 19 tahun, pula selesai dibedah siasat pada 10.35 malam dan jenazah akan dikebumikan di Jeniang, Sik, menurut Harian Metro.
Sementara itu, mangsa yang selamat dalam kemalangan itu, Muhammad Adib Aiman Mohamad Hasan, 19, yang berasal dari Subang Jaya, Selangor masih dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat kecederaan pada kaki.
Bapa Allahyarham Muhamad Habil, Encik Mohd Sobri Khamis, 47 tahun, berkata beliau tidak menyangka kepulangan anak sulung empat beradik itu bukan untuk meraikan perayaan bersama keluarga, tetapi sebagai jenazah.
“Kami tunggu beliau pulang hari ini kerana sepatutnya malam ini kami balik kampung di Bagan Serai, Perak, untuk sambut Aidiladha.
Tetapi tak sangka kami hanya menuntut jenazahnya pulang,” katanya dalam nada sebak.
Beliau berkata demikian semasa ditemui wartawan Sinar Harian di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Menurut Encik Mohd Sobri, anaknya yang berusia 19 tahun sering pulang ke rumah setiap minggu dan sangat rapat dengan ibunya, Cik Sarah Abdul Rashid, 42 tahun.
“Arwah selalu telefon ibunya hampir setiap hari dan kali terakhir dua hari lalu, beliau memaklumkan akan pulang hari ini.
“Beliau masih ada setahun setengah lagi untuk tamatkan pengajian di IKBN Jitra.
“Beliaulah harapan keluarga,” ujarnya.
Encik Mohd Sobri turut memaklumkan bahawa rancangan untuk pulang ke kampung pada malam Khamis dibatalkan dan mereka kini menguruskan pengebumian arwah di Kampung Paya Mengkuang selepas selesai proses bedah siasat di HSB.
Sementara itu, seorang rakan kepada tiga mangsa, Encik Nik Mohd Amirul Adli Zulkifli, 19 tahun, berkata mereka masih tergamam dengan berita tersebut.
“Kali terakhir kami berjumpa di dewan makan tengah hari tadi. Kami semua bersalaman kerana mahu pulang bercuti.
“Tiba-tiba 2.30 petang tadi, dapat berita mereka bertiga sudah tiada,” jelasnya.
Dalam kejadian 2.10 petang itu, kesemua mangsa menaiki dua motosikal dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.
Semua mangsa berusia 19 tahun dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Naza Citra sebelum berlaku kemalangan yang meragut nyawa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg