Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes suami kelar isteri sampai mati di Tangkak: Naluri ibu dapat rasa anak temui ajal

Jun 4, 2025 | 11:03 PM
Ibu, firasat, temui ajal, isteri dikelar suami
Cik Fatimah Seman, 63 tahun, ibu kepada wanita berusia 33 tahun yang dikelar suaminya itu, merasai firasat anaknya akan meninggal dunia sejak sebulan lalu kerana hatinya terganggu dengan sesuatu yang buruk bakal berlaku. - Foto BHM

TANGKAK: Naluri seorang ibu yang berasakan sesuatu bakal berlaku membabitkan ahli keluarganya terungkai apabila anak perempuannya mati dibunuh suami wanita itu dalam kejadian di Taman Cahaya, Bukit Gambir, pada petang 2 Jun.

Cik Fatimah Seman, 63 tahun, ibu kepada wanita berusia 33 tahun yang dikelar suaminya itu, merasai firasat itu sejak sebulan lalu kerana hatinya terganggu dengan sesuatu yang buruk bakal berlaku.

Beliau berkata hatinya seolah-olah ‘dijentik’ anak perempuan kedua daripada empat beradik itu bakal menemui ajal.

“Inilah naluri yang saya rasa sebulan sebelum kejadian. Hati saya terdetik dan berkata ‘anak aku akan mati’. Saya pernah beritahu suami, mungkin ada sesuatu akan berlaku ke atas keluarga kami.

“Kini, saya terima jawapannya dan anak saya sudah tiada. Sebagai ibu, kita boleh tahu sesuatu bakal berlaku. Allah berikan saya petunjuk walaupun saya cuba mengelak daripada memikirkan perkara buruk,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di rumahnya di Kampung Durian Chondong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki disyaki mengelar isterinya menggunakan pisau pemotong sayur sebelum meninggalkan wanita itu di rumahnya di Taman Cahaya, Bukit Gambar.

Mangsa ditinggalkan dibaluti selimut sebelum suspek ke rumah ibu mentuanya keesokan paginya (3 Jun) dan membakar empat kenderaan, selain cuba membakar kediaman mentuanya.

Bagaimanapun, perbuatannya itu disedari lalu suspek melarikan diri pulang ke rumahnya.

Cik Fatimah berkata pada hari arwah anaknya dibunuh, wanita itu menghubunginya dan memintanya datang ke tempat kerjanya di sebuah pusat pengumpulan sawit untuk mengambil beras.

Beliau berkata ketika itu beliau menyangka keadaan anaknya baik saja tanpa mengesyaki sesuatu kejadian buruk bakal menimpanya.

“Saya jarang berjumpanya, kerana suami tidak mengizinkan. Kalau nak jumpa sekalipun, saya perlu ke tempat kerja anak.

“Menantu saya (suami mangsa) pula sudah lama tak tegur saya. Dia tak benarkan anak jumpa keluarga atau saudara terdekat.

“Pada hari anak saya dibunuh, menantu datang ke rumah pada 4 pagi dan membakar empat kenderaan. Ketika itu, ada ahli keluarga menyedari kehadiran menantu yang menyimbah minyak ke arah kenderaan.

“Jika lambat bangun tidur, kami sekeluarga mungkin mati. Api semakin marak, saya menjerit meminta tolong, minta selamatkan rumah dan kereta yang akan meletup,” katanya lagi.

Fatimah berkata pada 11 pagi, 3 Jun, anggota bomba datang melakukan siasatan kes berkenaan.

“Saya reda atas ketentuan yang berlaku tetapi berharap individu yang terbabit melakukan kejadian ini dikenakan tindakan undang-undang,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg