TANAH MERAH (Kelantan): Kehilangan seorang bayi 19 bulan yang didakwa ‘misteri’ sejak malam 24 Februari di Tanah Merah, Kelantan, akhirnya terjawab apabila tubuh kecil itu ditemui tidak bernyawa dan tersangkut pada pokok di tebing sungai berhampiran kediaman keluarganya pada petang 26 Februari.
Bayi itu, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 4.15 petang, kira-kira tiga kilometer dari rumah neneknya di Kampung Kerila, sekitar 45 jam dia dilaporkan hilang.
Mayat bayi itu dilaporkan ditemui selepas beberapa kali laungan azan dilakukan di sungai berkenaan yang terletak di belakang rumah mangsa, ketika operasi SAR dijalankan.
Difahamkan, lokasi penemuan mayat mangsa sudah dilalui beberapa kali sejak operasi SAR dilakukan, namun gagal mengesan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Encik Mohd Zulkifli Osman, berkata ketika kejadian dilaporkan, paras air sungai tinggi dan ketika mayat mangsa ditemui, air sudah surut mendorong kepada penemuan bayi itu.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah, pula mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kehilangan Hud Aryan.
Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan anak kecil itu terjatuh di kawasan anak sungai di hadapan rumah neneknya sebelum dibawa arus.
“Setakat ini kita mengklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan mati mengejut,” katanya, lapor Harian Metro.
Kehilangan Hud Aryan dari rumah neneknya itu disedari ibunya, Cik Azean Nur Atikah Ramley, 34 tahun, pada 7.20 malam, hanya beberapa minit selepas beliau selesai memberi makan kepada bayi itu dan beredar ke dapur.
Cik Azean Nur Atikah menyifatkan kehilangan anaknya itu sebagai satu “misteri”, berikutan keadaan kawasan rumah mereka yang berbukit dan tidak memungkinkan bayi itu bergerak sendiri, selain kehilangannya dalam sekelip mata.
“Tidak logik Hud Aryan yang berusia 19 bulan boleh sampai ke kawasan anak sungai atau masuk ke dalam hutan di tepi serta belakang rumah,” katanya ketika usaha mencari masih dilakukan.
Pemergian Hud Aryan memberi kesan besar kepada kedua ibu bapanya memandangkan sekian lama menanti untuk mendapatkan zuriat dan kanak-kanak itu disifatkan seorang yang aktif dan ceria.
Kediaman nenek Hud Aryan dikelilingi hutan dan di hadapan rumahnya terdapat anak sungai yang jaraknya lebih 50 meter dan bersambung dengan Sungai Kelantan di Jambatan Bailey.
Beberapa pengamal perubatan tradisional turut tampil membantu pencarian Hud Aryan dan mendakwa mempunyai petunjuk lokasi keberadaan bayi itu, yang didakwa disembunyikan makhluk ghaib.
Bapa Allahyarham Hud Aryan, Encik Nor Hafifi Saidee, 34 tahun, serta isterinya reda dengan ketentuan Ilahi dan merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan SAR dan penduduk kampung yang bertungkus lumus mencari anak tunggalnya itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg