NILAI: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika menyusu botol, namun disahkan meninggal dunia akibat kesan kecederaan pada kepala, bukan kerana tersedak susu.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi pada 6 Disember, bayi dalam jagaan pengasuh itu sempat dibawa ke Klinik Kesihatan (KK) Nilai, Negeri Sembilan, namun tidak memberi tindak balas ketika dirawat.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata polis dihubungi KK Nilai kira-kira 9.30 pagi memaklumkan kematian bayi lelaki itu yang dibawa seorang wanita yang juga penjaganya dari kawasan Rumah Rakyat Nilai.
“Siasatan awal mendapati wanita terbabit memberi bayi itu susu kira-kira 8.30 pagi sebelum meletakkannya secara mengiring di atas ‘toto’ (cadar tebal). Tidak lama selepas itu penjaga terbabit mendapati susu mengalir keluar dari mulut bayi terbabit,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Superintendan Abdul Malik berkata penjaga itu kemudian mengangkat bayi berkenaan dan menepuk belakangnya, sebelum meminta bantuan jiran untuk membawanya ke KK Nilai.
“Bedah siasat dijalankan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) kemudian mendapati punca kematian disebabkan kecederaan pada kepala, namun tiada sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh bayi,” katanya.
Di bawah akta berkenaan, siasatan polis akan menjurus kepada kemungkinan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
Dalam satu kes berasingan di Ampang, Kuala Lumpur, seorang wanita ditahan selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di satu rumah di Taman Ampang Indah.
Suspek yang juga pengasuh kepada mangsa terbabit ditahan pada 4 Januari lalu susulan laporan polis yang dibuat bapanya yang menyedari terdapat kesan luka pada badan anaknya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Mohd Azam Ismail, berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Ampang sebelum Pegawai Perubatan mengesahkan kesan kecederaan lama dan baru pada tubuhnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg