Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bayi mati lepas minum susu di Melaka sebab jangkitan paru-paru

Nov 2, 2023 | 12:09 PM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto fail

MELAKA: Bayi perempuan berusia sebulan 28 hari ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya di atas tilam selepas diberi minum susu di rumah mereka di Taman Melaka Raya pada pagi Rabu. Selepas dikejarkan ke hospital, bayi itu meninggal dunia.

Bedah siasat bayi itu mendapati kematiannya bukanlah disebabkan minum air susu itu tetapi kerana jangkitan paru-paru.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner (AC) Christopher Patit, berkata laporan dikeluarkan Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka selepas bedah siasat lima jam.

“Bedah siasat dijalankan bermula 11.45 pagi dan doktor pakar patologi mendapati punca kematian bayi berkenaan adalah disebabkan oleh jangkitan paru-paru.

“Mayat si mati diserahkan kepada pihak waris iaitu ibunya untuk urusan pengebumian,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan bayi perempuan itu ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya selepas diberi minum susu di rumah mereka di Taman Melaka Raya pada pagi Rabu.

Menurut siasatan awal, bayi itu tidur bersama ibunya kira-kira 11 malam pada Selasa.

“Selang dua jam, wanita itu memberikan anaknya minum susu tepung dan selepas disendawakan, bayi berkenaan diletakkan dalam keadaan terlentang di atas tilam.

“Ketika bangun untuk ke tandas kira-kira jam 5 pagi, dia mendapati bayinya dalam keadaan tertiarap dan kaku sebelum membawanya ke hospital,” kata AC Christopher.

Menurutnya, doktor mengesahkan bayi meninggal dunia pada 7.10 pagi. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam kejadian berasingan, seorang bayi lelaki berusia 12 bulan dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan di sebuah taska di Pertam Jaya, Semabok, Melaka pada Selasa.

AC Christopher berkata kira-kira 9.30 pagi hari yang sama, bapa bayi berkenaan berusia 31 tahun dihubungi menerusi mesej pesanan suara oleh pemilik taska memaklumkan ketika sedang mandi dan dipakaikan baju, mata anaknya tiba-tiba naik ke atas.

“Malah, pemilik taska turut bertanyakan sama ada bayi itu pernah terkena sawan atau tidak sebelum ini.

“Susulan itu, bapa bayi berkenaan terus menghubungi wanita terbabit sebelum bergegas ke pusat jagaan untuk mengambil anaknya lalu dibawa ke Hospital Melaka (HM).

“Bayi itu kini ditahan dan dirawat di HM kerana mengalami pendarahan di bahagian kepala,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg