PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia memberi jaminan bahawa bekalan lembu, kerbau dan kambing bagi keperluan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha 2025 adalah mencukupi.
Ketua Pengarah Veterinar, Dr Akma Ngah Hamid, berkata permintaan keseluruhan bagi haiwan korban 2025 dianggarkan sebanyak 34,451 ekor bagi lembu dan kerbau, manakala kambing serta bebiri pula berjumlah sekitar 22,453 ekor.
Beliau berkata berdasarkan data sehingga Mac 2025, stok bekalan sedia ada dalam negara bagi lembu dan kerbau mencecah 35,581 ekor, dengan tambahan 3,223 ekor haiwan import yang sudah berada di dalam negara dan bersedia untuk disembelih.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban tahun 2025 sebanyak 38,804 ekor, iaitu melebihi anggaran permintaan semasa,” katanya lapor Harian Metro.
Bagi kambing dan bebiri pula, bekalan tempatan mencatatkan sebanyak 26,845 ekor, manakala 3,322 ekor lagi terdiri daripada haiwan import yang turut bersedia untuk sembelihan korban.
“Jumlah keseluruhan bekalan bagi kambing dan bebiri adalah 30,167 ekor, iaitu melebihi permintaan yang dianggarkan,” katanya.
Mengulas mengenai unta yang juga menjadi pilihan sesetengah umat Islam bagi ibadah korban, Dr Akma berkata setakat ini pengimportan haiwan itu ke Malaysia hanya dibenarkan dari Australia dan khusus untuk tujuan pembiakan sahaja.
“Pihak pengimport boleh membawa masuk ternakan unta sama ada melalui kapal laut atau kapal terbang dan tidak perlu menjalani kuarantin,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai isu penyeludupan haiwan ternakan menjelang musim korban, Dr Akma menjelaskan bahawa DVS sentiasa menjalankan pemantauan ketat, terutamanya di negeri yang bersempadan dengan Thailand seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
Beliau berkata pemantauan dilakukan secara berkala menerusi operasi, serbuan dan risikan, dengan kerjasama rapat agensi lain termasuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (Aksem).
“Langkah bersepadu ini diambil bagi membanteras dan menghalang kegiatan penyeludupan haiwan secara tidak sah ke dalam negara,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh 2023 hingga April 2025, sebanyak 317 kes penyeludupan ternakan telah dikesan, membabitkan rampasan 1,938 ekor haiwan.
“Jumlah denda yang dikenakan mencecah lebih RM800,000 ($243,122), manakala nilai lucut hak ternakan yang dilaksanakan pula melebihi RM1.6 juta,” katanya.
Tambahnya, usaha penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan haiwan korban yang dibawa masuk adalah selamat dan tidak menjejaskan kesihatan awam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg