Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar bentang Belanjawan RM510b sebelum PRU16
Kadar gaji minimum dipertingkat, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan
Anwar bentang Belanjawan RM510b sebelum PRU16
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentangkan Belanjawan Madani 2027 dengan peruntukan keseluruhan yang meningkat kepada RM510 bilion ($159.97 bilion), ketika Kerajaan Perpaduan pimpinannya memasuki fasa akhir penggal pentadbiran sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
PRU16 perlu diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028, namun banyak pihak menjangkakan ia akan diadakan lebih awal menjelang akhir 2027.
Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan Madani kelima sejak Kerajaan Madani dibentuk pada November 2022, bertemakan ‘Menggapai Di Langit Serta Mengakar Di Bumi’ pada 9 Oktober di Parlimen Malaysia.
Dalam suasana ekonomi yang mencabar terutama dengan konflik Timur Tengah yang berlarutan dan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, Datuk Anwar berkata peruntukan besar itu menandai ikhtiar menuju cita-cita besar wajah Malaysia dalam tahun mendatang.
“Belanjawan Madani Kelima meneruskan dasar fiskal mengembang dengan menggunakan seluruh kekuatan negara. Keseluruhannya berjumlah RM510 bilion, berbanding RM470 bilion (pada 2026),” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 itu.
Jumlah peruntukan itu katanya merangkumi RM376.8 bilion belanja mengurus Persekutuan dan RM83 bilion belanja pembangunan Persekutuan.
Selain itu, ia turut merangkumi RM25 bilion melibatkan pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC); RM11 bilion pelaburan awam-swasta dan RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Datuk Anwar berkata hasil Persekutuan diunjur lebih tinggi pada 2026 iaitu RM363.6 bilion, berbanding anggaran asal RM343.1 bilion.
“Bagi 2027, hasil dijangka terus meningkat kepada RM380.8 bilion,” katanya.
Antara yang menarik perhatian dalam pembentangan itu ialah peningkatan kadar gaji minimum dan had pelepasan cukai individu.
Beliau berkata kadar gaji minimum akan dinaikkan kepada RM2,000 sebulan berbanding RM1,700 ketika ini, berkuat kuasa Jun 2027.
Bagaimanapun Datuk Anwar berkata Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang penyesuaian model perniagaan.
“Ini bermakna lebih empat juta pekerja tertakluk kepada kadar gaji minimum baharu,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 itu.
Datuk Anwar berkata kerajaan juga menaikkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, yang tidak disemak sejak 2010.
“Kerajaan juga mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak satu mata peratusan bagi membantu golongan pertengahan (M40) yang berdepan beban kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata pengurangan kadar cukai pendapatan individu pemastautin itu membabitkan julat pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 yang dikurangkan kepada 18 peratus.
“Bagi julat pendapatan bercukai antara RM100,000 hingga RM150,000 pula, kadar cukai dikurangkan kepada 24 peratus,” katanya.
Datuk Anwar juga memberi tumpuan dalam merancakkan perdagangan, menarik pelaburan dan mencipta pekerjaan bernilai tinggi untuk anak muda.
Beliau berkata di selatan, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menggabungkan kekuatan Malaysia dan Singapura telah merekodkan pelaburan berjumlah RM132 bilion dari 2025 hingga Jun 2026.
Menurut Datuk Anwar, beliau dan Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, akan meluncurkan pelan induk serta rangka tindakan JS-SEZ pada akhir 2026, bagi memperkukuh kerjasama ekonomi kedua-dua negara.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata Nexus Sedenak di Kulai, Johor, bakal menjadi hab industri baharu di bahagian utara JS-SEZ, dengan potensi pelaburan RM12 bilion dan pewujudan 45,000 peluang pekerjaan.
“Bagi menyokong pembangunan itu, jalan dari persimpangan Sedenak akan dinaik taraf, selain penyediaan kemudahan yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan pelabuhan utama dan jaringan perdagangan serantau,” katanya.
Datuk Anwar berkata kerajaan turut menubuhkan Pasukan Petugas Khas menerusi pendekatan ‘Queen Bee’ bagi menyelaras rundingan rentas agensi untuk menarik syarikat peneraju sektor strategik melabur di JS-SEZ.
“Di Forest City, Skim Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) membolehkan satu keluarga mengurus dana mereka di Malaysia, dengan cukai sifar ke atas pendapatan yang layak sehingga 20 tahun.
“Model Pejabat Pelbagai Keluarga (MFO) akan diperkenalkan, iaitu pengurus dana 71 berlesen boleh menawarkan khidmat kepada beberapa keluarga, termasuk dana SFO yang telah diluluskan,” katanya lagi.
Datuk Anwar berkata kerajaan juga memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk projek seperti Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat, dengan empat projek perumahan baharu akan dilaksanakan di Kulai, Johor; Nilai, Negeri Sembilan; Paya Rumput, Melaka; dan Lembah Pertang, Terengganu.
Kerajaan juga kata Datuk Anwar akan meningkatkan usaha bagi mempersiapkan Malaysia menuju status negara tua, dengan jangkaan untuk Rang Undang-Undang Warga Emas akan digubal, bagi menangani pengabaian dan memperkukuh ekosistem penjagaan yang menyeluruh.
Beliau berkata mulai 1 Januari 2027, kadar cukai perkhidmatan warga emas diturunkan daripada 8 peratus kepada 6 peratus, serta pengecualian penuh bagi yuran jagaan sehingga RM96,000 setahun.
“Bantuan warga emas pada 2027 juga dinaikkan kepada RM1.3 bilion bagi manfaat hampir 200,000 penerima,” katanya.
Dalam pembentangan belanjawan itu, tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang, Sarawak, pada 8 September lalu yang meragut nyawa lima petugas kesihatan turut mendapat perhatian Datuk Anwar.
Beliau berkata kerajaan bersetuju menaikkan bayaran insentif perkhidmatan kesihatan udara daripada RM30 kepada RM100 untu petugas perkhidmatan terbabit.
Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, Datuk Anwar berkata kerajaan mengunjurkan hasil Persekutuan lebih tinggi sehingga RM363.6 bilion pada 2026, berbanding anggaran asal RM343.1 bilion.
“Bagi tahun hadapan, hasil dijangka terus meningkat kepada RM380.8 bilion,” katanya.