KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi bayangan Belanjawan 2027 bakal menampilkan lebih banyak penjimatan berikutan keadaan ekonomi semasa.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menyatakan ia mengambil kira kesan rantaian serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang menyebabkan keadaan ekonomi dunia terjejas.

“Dampak daripada serangan itu menyebabkan masalah ekonomi kita juga terjejas. Jadi, jangan kita ambil sikap sambil lewa atau remehkan.

“Apabila saya nak keputusan baharu, memang kita minta kementerian-kementerian termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Rayulah bagaimanapun, mesti ada pengurangan belanjawan.

“Ini kerana mustahil dalam RM20 bilion ($6.44 bilion) itu tak boleh yang dijimatkan. Banyak bidang boleh dijimatkan. Tetapi soal penumpuan tentang mutu pendidikan, kemudahan asas pendidikan, baik di sekolah atau universiti, insya-Allah kita akan teruskan tanpa gangguan,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 29 Mei.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, Datuk Anwar turut menyeru semua kepimpinan di setiap kementerian untuk memahami perkara berkenaan, selain tidak berfikir secara silo.

“Semua fokus penting - perpaduan penting, budaya dan sukan penting, (serta) sains teknologi penting.

“Tetapi dalam semua kepentingan itu, harus ada kebijaksanaan dan kefahaman tentang ekonomi makro. Ekonomi makro ini maknanya tidak lihat hanya dari segi satu sudut. Perlu lihat keseluruhannya, semua terkesan.

“Kalau ada keperluan, semua memerlukan peruntukan tambahan. Tetapi dalam keadaan sekarang, semua harus waras dan bijak.

“Tahu masalah, perbaiki, ambil kesempatan dalam lompongan dan kelemahan ini. Perbaiki serta kurangkan kos yang mana perlu. Dalam masa sama, tetapkan keutamaannya,” katanya.