PETALING JAYA: Mentaliti ‘hidup-pada-masa-ini’, dipadankan dengan kemudahan kredit mudah dan skim beli sekarang bayar kemudian, merupakan salah satu faktor yang menyebabkan peningkatan hutang dalam kalangan golongan muda di bawah 30 tahun, kata pakar kewangan.
Komen mereka timbul berikutan laporan terbaru Agensi Kaunseling Kredit dan Pengurusan Hutang Malaysia, yang mendedahkan bahawa 53,000 orang muda dibebani hutang berjumlah RM1.9 bilion ($573 juta).
Laporan itu juga mendedahkan bahawa 28 peratus golongan dewasa yang bekerja di Malaysia terpaksa meminjam untuk keperluan harian.
Seorang perancang kewangan, Cik Amy Seok, berkata pinjaman pelajar menyumbang sekitar 60 peratus daripada hutang mereka yang di bawah 30 tahun.
Hutang kad kredit dan pinjaman peribadi juga menyumbang kepada keseluruhan hutang tersebut.
Faktor lain yang menyebabkan hutang ialah tarikan untuk membuat pulangan cepat melalui mata wang kripto, kata seorang lagi pakar, Encik Felix Neoh.
Beliau menambah bahawa mentaliti ‘anda hanya hidup sekali’, atau ‘Yolo’, mendorong pembelian barangan bergaya dan mewah dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 30 tahun ke bawah.
Bimbang terlepas atau ‘Fomo’ juga merupakan penyebab golongan muda membuat kesilapan kewangan, kata Encik Neoh, yang merupakan pengarah pengurusan Finwealth.
‘Fomo’ juga mendorong sesetengah orang untuk melabur secara membuta tuli dalam mata wang kripto dan saham atau mengikuti guru kewangan bergaya yang mungkin tidak memegang lesen yang diiktiraf.
“Terdapat juga kecenderungan untuk menanggung hutang yang tidak perlu kerana mereka merasakan mereka masih muda,” kata Encik Neoh.
Daripada mengambil hutang melalui pelaburan, golongan muda harus mengutamakan pertumbuhan gaji dan simpanan mereka sebagai sumber utama untuk meningkatkan kewangan masing-masing.
E-dompet juga perlu ditambah nilai hanya melalui dana di bank dan bukan kad kredit, katanya.
Ibu bapa harus lebih terlibat dalam mengajar anak-anak mereka cara berbelanja secara berhemat, dan nasihat kewangan pula, harus dicari daripada penasihat dan perancang berlesen.
Cik Seok, yang merupakan pengerusi pengasas Persatuan Celik dalam Pendidikan Kewangan Malaysia, berkata kekurangan dalam kecelikan kewangan membawa kepada tabiat menggunakan kredit secara berlebihan tanpa pelan pembayaran balik yang berkesan.
Beliau berkata pengguna perlu menyediakan pembayaran automatik untuk mengelakkan caj yuran lewat dan mengurangkan perbelanjaan.
“Ia juga penting untuk menyenaraikan semua hutang, termasuk kadar faedah dan bayaran minimum, serta memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan bulanan anda khusus untuk pembayaran balik hutang,” kata Cik Seok.
Encik Gunaseelan Kannan, seorang perancang kewangan, berkata bahawa memupuk hubungan dengan individu yang berhemat dari segi kewangan boleh membantu pekerja muda lebih peka tentang perancangan kewangan mereka.
“Apabila mereka menerima kenaikan pangkat atau tawaran pekerjaan baru, ramai yang berasa mereka harus menaikkan taraf hidup mereka, membeli barangan mewah atau menikmati pengalaman yang mahal, selalunya tanpa mengambil kira implikasi jangka panjang terhadap keadaan kewangan mereka,” kata Encik Gunaseelan.
Encik Gunaseelan menambah bahawa simpanan tambahan yang didapati selepas mengurangkan perbelanjaan boleh digunakan untuk membayar hutang, dan individu harus mengutamakan menyelesaikan hutang dengan kadar faedah yang tinggi.
“Anda juga boleh membayar hutang terkecil dahulu untuk mencipta momentum dan motivasi.” tambahnya lagi. – Agensi berita.
“
“Ia juga penting untuk menyenaraikan semua hutang, termasuk kadar faedah dan bayaran minimum, serta memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan bulanan anda khusus untuk pembayaran balik hutang.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg