KUALA LUMPUR: Laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan 53,000 individu di bawah 30 tahun di Malaysia sudah dibebankan hutang hampir RM1.9 bilion ($0.59 bilion), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata AKPK juga melaporkan bahawa 28 peratus rakyat Malaysia dewasa yang bekerja terpaksa meminjam wang hanya untuk membeli barangan keperluan.
Katanya, kebolehcapaian yang semakin meningkat bagi pinjaman peribadi, kad kredit dan terutamanya skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ amat membimbangkan, terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Jelasnya, walaupun skim sedemikian mungkin menawarkan kemudahan, kekurangan pemahaman mengenai implikasinya dan kekurangan disiplin dalam menguruskan komitmen boleh membawa kepada hutang yang tidak terurus dengan cepat.
Justeru, katanya, perangkaan yang dicatatkan itu menyerlahkan keperluan mendesak untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Bagi kebanyakan orang, pengetahuan kewangan masih belum diterjemahkan ke dalam kesediaan kewangan yang tulen, mendedahkan jurang yang besar antara memahami konsep kewangan dan mencapai kesejahteraan kewangan sebenar terutamanya dalam kalangan komuniti yang lebih rentan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Bulan Celik Kewangan 2024 dengan tema Bijak Wang, Hidup Sejahtera di sini pada 1 Oktober.
Datuk Amir Hamzah berkata menurut Tinjauan Celik Kewangan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), hanya 36 peratus rakyat Malaysia menunjukkan pemahaman mengenai konsep kewangan asas seperti kadar faedah, inflasi dan kepelbagaian risiko.
Beliau berkata angka itu berada di bawah purata global sebanyak 42 peratus dan meletakkan Malaysia di tangga ke-26 daripada 39 negara yang dikaji.
Katanya, tahap celik kewangan yang rendah itu membimbangkan memandangkan hutang isi rumah yang tinggi di Malaysia.
“Sehingga 2023, hutang isi rumah telah mencecah RM1.53 trilion, bersamaan 84.2 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), salah satu nisbah tertinggi di rantau ini.
“Angka yang membimbangkan ini menunjukkan bahawa isi rumah semakin bergantung kepada kredit untuk membiayai gaya hidup dan pelaburan mereka.
“Jika tidak diurus dengan teliti, tahap hutang sedemikian boleh menyebabkan tekanan kewangan jangka panjang, mengukuhkan peranan penting yang dimainkan oleh celik kewangan dalam melindungi kesihatan kewangan,” jelasnya.
Datuk Amir Hamzah menambah bahawa celik kewangan adalah asas kepada pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan kewangan semua rakyat Malaysia.
Beliau berkata diiktiraf sebagai pemacu utama kestabilan kewangan peribadi dan pertumbuhan ekonomi negara, celik kewangan memainkan peranan penting dalam memupuk ekonomi yang mampan dan inklusif.
Kerajaan Malaysia, katanya, melalui Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) telah mengutamakan celik kewangan sebagai elemen teras agenda dasarnya di bawah Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg