Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bendera Sarawak kini dikenali sebagai Ibu Pertiwi

Jan 2, 2024 | 1:04 PM
NAMA BENDERA: Seorang penduduk merakam gambar tiang bendera negeri Sarawak di Dataran Ibu Pertiwi di Petra Jaya di Kuching.
NAMA BENDERA: Seorang penduduk merakam gambar tiang bendera negeri Sarawak di Dataran Ibu Pertiwi di Petra Jaya di Kuching. - Foto BERNAMA

KUCHING: Bendera negeri Sarawak kini dikenali sebagai ‘Ibu Pertiwi’, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau mengumumkan perkara itu semasa berucap pada majlis sambutan ambang tahun baru peringkat negeri yang diadakan di Tebingan Kuching di sini.

Menurut Tan Sri Abang Johari, sebelum ini bendera Sarawak tidak mempunyai sebarang nama tersendiri seperti bendera Malaysia yang digelar Jalur Gemilang.

“Ibu Pertiwi membawa maksud kedaulatan kepada Sarawak, ia juga menunjukkan kehebatan negeri Sarawak dengan warna (bendera) merah, hitam dan kuning.

“Semua anak Sarawak hendaklah tekad bekerja kuat mempertahankan Ibu Pertiwi dan sama-sama membangun negeri ini agar lebih maju,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Antara pengisian sambutan ambang tahun baru bertemakan ‘Let’s Celebrate Together’ ialah persembahan pentas, pertunjukan bunga api serta acara kiraan detik tahun baru.

Mengulas dakwaan Langkah Dubai bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dilapor diusahakan oleh segelintir pemimpin pembangkang, Tan Sri Abang Johari berkata pihaknya “bukan bodoh”.

Beliau hairan kerana namanya turut dikaitkan dengan gerakan sulit itu apabila namanya secara tidak langsung disebut konon sebagai bakal perdana menteri.

Menurutnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinannya hanya mempunyai 23 kerusi di Parlimen dan beliau tidak berminat menerima jawatan Perdana Menteri hanya kerana mahu menyertai pakatan bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Apa hal pula nama saya turut dimasuk dalam Langkah Dubai itu (kononnya) nak jadi Perdana Menteri... adakah patut? Saya memang terkejut apabila mereka sebut itu.

“Kita (GPS) sukat baju di badan sendiri, kalau sukatan seperti sekarang kita ikut sukatan itulah kerana GPS hanya ada 23 kerusi (Parlimen), (kita tidak mahu) nanti apabila kita naik (jadi Perdana Menteri) mereka tekan kita pula, sebab itu saya kata, kita bukan paloi (bodoh),” katanya.

Tan Sri Abang Johari berkata jika benar dakwaan berlakunya Langkah Dubai itu, ia hanya membuang masa dan menjadikan politik negara kelam kabut semula.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg