Bersatu Kelantan: ‘Mungkin ada kejutan siapa Pengerusi PN’
Bersatu Kelantan: ‘Mungkin ada kejutan siapa Pengerusi PN’
KOTA BHARU (Kelantan): Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan tidak menolak kemungkinan pengumuman jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) nanti akan membawa kejutan tak terduga.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor, bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang kejutan itu, sebaliknya meminta semua pihak menanti pengumuman rasmi.
“Dua nama pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang dikaitkan akan memegang jawatan Pengerusi PN. Pada saya kita tidak perlu berteka teki berkaitan siapa yang akan memegang jawatan berkenaan.
“Namun, saya jangka akan ada kejutan dan perkara luar jangkaan nanti. Kita tunggu dan lihat nanti.
“Siapa pun yang memegang jawatan berkenaan nanti, kami Bersatu Kelantan menerima dengan hati terbuka keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi PN,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Preview Buffet Ramadan di Grand Riverview Hotel, Kota Bharu pada 18 Januari.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan menerajui PN susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mesyuarat mengenai calon Pengerusi PN baharu dijangka berlangsung minggu ini dan turut dihadiri pemimpin Bersatu.
Tan Sri Abdul Hadi menjelaskan PAS mempunyai ramai calon dalam kalangan agamawan mahupun teknokrat namun Ahli Parlimen Marang itu masih menutup mulut mengenai identiti calon yang akan dikemukakan.
Ditanya kemungkinan beliau akan menerajui PN seperti cadangan beberapa pihak, Tan Sri Abdul Hadi sekadar menjawab dirinya dalam keuzuran.
“Kita dalam keadaan keuzuran, tetapi calon yang akan dipilih untuk memimpin PN akan dibincangkan pada mesyuarat minggu depan, yang pasti pengerusi gabungan itu adalah kalangan pemimpin PAS,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan hubungan antara PAS dan Bersatu kekal baik, meskipun Tan Sri Muhyiddin dan beberapa pengerusi PN negeri mengumumkan peletakan jawatan.
Pada 30 Disember, Tan Sri Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, selepas lima tahun menerajui gabungan itu, susulan krisis politik di Perlis.

