Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima peletakan jawatan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Namun, mereka menafikan Bersatu sebagai pengkhianat dalam krisis politik Perlis.
Tan Sri Muhyiddin, yang juga mantan Perdana Menteri, menjelaskan bahawa Bersatu sama sekali tidak terlibat dalam usaha mengetepikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Mohd Shukri Ramli, daripada jawatan Menteri Besar.
Sebaliknya, Bersatu sekadar akur kepada keputusan yang dibuat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, yang mempunyai kuasa mutlak dan wajib dihormati, tegas Tan Sri Muhyiddin.
Justeru, beliau menegaskan, Bersatu tidak berperanan mensabotaj PAS di Perlis sehingga menyaksikan jawatan Menteri Besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
“Kita (Bersatu) menafikan sekeras-kerasnya kita pengkhianat. Tiada kaitan. Bersatu tidak terlibat,” katanya selepas mesyuarat MPT selama empat jam di Petaling Jaya, Selangor, pada malam 12 Januari, lapor portal berita, Malaysiakini.
Sebelum ini, PAS beberapa kali menggelar pihak yang didakwa bertanggungjawab menyingkirkan pemimpin mereka daripada jawatan Menteri Besar itu sebagai ‘pengkhianat’.
Antaranya ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sendiri yang menganggap tindakan tersebut sebagai ‘menjatuhkan kerajaan’.
Bagaimanapun pertukaran Menteri Besar itu tidak mengubah kerajaan kerana Perlis masih ditadbir oleh pakatan PN kerana Bersatu merupakan parti komponen gabungan tersebut.
PAS turut memberhentikan keanggotaan tiga Adun mereka yang mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi menegaskan tidak lagi percaya kepada kepimpinan Encik Mohd Shukri sebagai Menteri Besar.
Jawatan Menteri Besar Perlis kini disandang Pengerusi Bersatu Perlis yang juga Adun Kuala Perlis, Encik Abu Bakar Hamzah.
Beliau turut hadir dalam mesyuarat itu dan memberikan penjelasan mengenai apakah yang berlaku di Perlis.
Perkembangan itu mencetuskan desakan sesetengah pemimpin PAS agar Tan Sri Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Ada yang menggunakan ungkapan keras seperti ‘berambus’ terhadap pihak yang dianggap ‘pengkhianat’.
PAS juga bertegas mahu pemimpin mereka mengisi jawatan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Muhyiddin itu.
“Nanti apabila sampai waktu mesyuarat MT (Majlis Tertinggi) PN, perkara itu (peletakan jawatan dan pengganti Pengerusi PN) akan diputuskan secara muktamad,” kata Tan Sri Muhyiddin sambil menegaskan setakat ini PAS belum mengemukakan sebarang nama untuk dicadangkan sebagai pengerusi baru PN.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam kenyataan pada 13 Januari berkata MPT Bersatu menghormati keputusan Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan Pengerusi PN dan akan mempertahan keputusan itu atas dasar prinsip serta tanggungjawab.
“Bagaimanapun, MPT turut membincangkan secara mendalam mengenai hala tuju PN dalam persiapan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) untuk maju ke hadapan dengan dasar yang sederhana, progresif dan prihatin rakyat.
“MPT mengambil pendirian untuk Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN serta kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg