Topik diikuti
Pergi ke BHkuBersatu tolak Wawasan sertai PN ketika krisis dengan PAS belum selesai
Bersatu tolak Wawasan sertai PN ketika krisis dengan PAS belum selesai
Bersatu tolak Wawasan sertai PN ketika krisis dengan PAS belum selesai
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membantah keputusan Perikatan Nasional (PN) menerima Parti Wawasan Negara sebagai anggota gabungan.
Parti yang dahulunya dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia (PCM) itu kini dipimpin oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin, mantan Timbalan Presiden Bersatu yang telah dipecat.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menjelaskan bahawa bantahan tersebut dibuat kerana PN masih terbelenggu dengan isu dalaman yang belum selesai.
Beliau merujuk kepada ketegangan yang memuncak selepas PAS memutuskan untuk menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu pada 8 Jun lalu.
“Dalam keadaan masalah ini belum selesai, penerimaan parti baharu yang dipimpin oleh bekas ahli-ahli Bersatu yang telah dipecat akan menambah masalah dalaman PN,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 Jun.
Terdahulu Datuk Ahmad Faizal adalah antara pimpinan Bersatu yang menghadiri Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi (MT) PN pada malam 22 Jun, yang awalnya digembar gemburkan sebagai mesyuarat yang akan menentukan kedudukan Bersatu dalam gabungan PN.
Bagaimanapun, mesyuarat berkenaan yang turut dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berakhir dengan kedudukan parti itu tidak dibincangkan.
Sebaliknya Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hanya memaklumkan mesyuarat itu menerima keanggotaan dua parti baru iaitu Wawasan dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipimpin anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz.
Malah, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, Bersatu kekal sebagai komponen PN.
Dalam pada itu, Datuk Ahmad Faizal turut menyenaraikan kepincangan dalam proses penerimaan keanggotaan parti Warisan ke dalam PN.
Menurut beliau permohonan parti Warisan untuk menyertai PN dibuat oleh Ahli Parlimen (AP) Indera Mahkota sebagai Setiausaha Agung PCM, Datuk Seri Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin adalah mantan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu yang dipecat pada Januari lalu.
“Namun, hasil semakan rasmi mendapati Setiausaha Agung PCM yang terkini bagi 2026 - 2027 adalah Encik Yeo Kwee Kwang,” katanya.
Selain itu, kata Datuk Ahmad Faizal, dokumen yang dikemukakan menggunakan nama parti Wawasan, walaupun permohonan dibuat atas nama PCM.
“Dalam semakan setakat 22 Jun, perubahan nama PCM kepada Parti Wawasan Negara serta perubahan barisan kepimpinan parti itu masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
“Menggunakan nama parti yang belum diluluskan JPPM adalah satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Datuk Ahmad Faizal melahirkan kekesalan terhadap tindakan Pengerusi PN yang didakwa mendesak MT gabungan itu menerima keanggotaan PCM secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira implikasi perundangan.
Datuk Ahmad Faizal berkata, Bersatu turut mencadangkan penangguhan mesyuarat berkenaan selepas dimaklumkan oleh JPPM mengenai dokumen tidak lengkap dan tidak bertandatangan mengenai rekod barisan kepimpinan MT PN.
“Namun, mesyuarat diteruskan juga dan ianya berkemungkinan bertentangan dengan kehendak JPPM untuk memastikan segala urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan PN dan Akta Pertubuhan 1966 dan mana-mana peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
