Topik diikuti
Pergi ke BHkuBersatu, PAS ‘rebut’ Perikatan Nasional selepas tamat kerjasama
Bersatu, PAS ‘rebut’ Perikatan Nasional selepas tamat kerjasama
Bersatu tuntut Muhyiddin kembali terajui gabungan, PAS sahkan kekal dalam PN
Bersatu, PAS ‘rebut’ Perikatan Nasional selepas tamat kerjasama
Hala tuju Perikatan Nasional (PN) kini menjadi tanda tanya menyusuli keputusan Parti Islam SeMalaysia (PAS) menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 8 Jun.
Pimpinan Bersatu menuntut jawatan Pengerusi PN dikembalikan kepada pengasasnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, PAS mempertahankan kepimpinan Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang memegang jawatan tersebut sejak Februari lalu selepas Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan pada 1 Januari.
Dalam kenyataan pada 9 Jun, Tan Sri Muhyiddin meluahkan rasa dukacita terhadap tindakan PAS menamatkan kerjasama yang dibina atas semangat persefahaman selama ini.
Namun, beliau menegaskan bahawa Bersatu, sebagai parti pengasas, akan terus kekal dalam PN demi memperkukuh teras perjuangan gabungan itu.
“Bersatu akan memperkasa agenda prihatin rakyat yang dibawa PN sejak penubuhannya serta mendokong hasrat rakyat yang mahukan perubahan serta kepimpinan yang mewakili aspirasi seluruh warga Malaysia.
“Saya yakin rakyat yang mendukung cita-cita PN akan terus istiqamah bersama-sama kita,” katanya.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin, menyifatkan Tan Sri Muhyiddin bukan sekadar pengasas PN, malah ‘titik temu’ yang berjaya menyatukan pelbagai aliran pemikiran politik dalam satu wadah.
Menurut beliau, keputusan PAS menamatkan kerjasama dengan Bersatu membuka lembaran baharu buat PN, di mana hanya kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dilihat mampu memacu agenda penyatuan Melayu yang terangkum.
“Dalam saat-saat seperti ini, PN tidak memerlukan retorik yang membakar emosi.
“PN memerlukan seorang pemimpin yang mampu menyatukan, menenangkan keadaan dan membina semula kekuatan gabungan dengan berpaksikan prinsip serta matlamat yang lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti.
“Sebab itulah ramai melihat bahawa sudah tiba masanya Tan Sri Muhyiddin kembali memimpin PN sebagai Pengerusi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan (Selangor) itu dalam kenyataan pada 9 Jun.
Beliau berkata apabila landskap politik berubah, PN memerlukan semula kepimpinan yang mampu menarik sokongan rakyat yang lebih luas – bukan hanya penyokong tegar parti, tetapi juga golongan Melayu yang berpandangan sederhana, pengundi atas pagar, anak muda profesional dan rakyat yang mahukan kestabilan.
“Realitinya, kekuatan PN dalam pilihan raya yang lalu tidak datang daripada satu parti semata-mata. Kemenangan itu lahir daripada gabungan pelbagai kelompok rakyat yang melihat PN sebagai alternatif kepada politik naungan dan kegagalan kerajaan semasa,” kata Dr Afif.
Ketua Penerangan PAS, Encik Ahmad Fadhli Shaari, pula dilaporkan mengesahkan kepada Harian Metro bahawa setakat ini PAS kekal dalam PN.
Beliau dalam kenyataan pada 9 Jun juga berkata PAS dan Bersatu tidak boleh terus berada di bawah payung sama dan kedudukan dua parti itu dalam PN akan diuruskan mengikut Perlembagaan dan saluran sewajarnya.
“Kedudukan PAS dan Bersatu dalam PN akan diuruskan mengikut peruntukan Perlembagaan dan saluran yang sewajarnya. Sudah tentu PAS dan Bersatu tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama berikutan keputusan yang dibuat semalam (8 Jun),” katanya.
Beliau juga menafikan keputusan PAS dibuat berdasarkan sentimen atau kepentingan jangka pendek, dengan penyatuan ummah adalah perkara paling utama buat PAS.
“Apabila Bersatu di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN mengambil sikap menentang kemasukan parti seperti Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia), Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air), Iman (Parti Perikatan India Muslim Nasional) dan Putra (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia), walaupun kertas cadangan sudah disiapkan, tindakan tersebut merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Tun Ismail Aziz, menyifatkan konflik PN ketika ini sebagai cerminan kegagalan Datuk Ahmad Samsuri menerajui gabungan itu.
Beliau menegaskan bahawa sejak Datuk Ahmad Samsuri memegang jawatan tertinggi PN pada Februari lalu, pelbagai pertikaian terus memuncak tanpa penyelesaian yang wajar, sehingga menjejaskan kestabilan gabungan tersebut.
