PENGERANG (Johor): Barisan Nasional (BN) mengemukakan hanya satu nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Yang di-Pertuan Besar negeri itu, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan menyerahkan pengumumannya kepada pihak istana.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata warkah pencalonan telah diutus, namun beliau belum dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Besar.

“Satu sahaja tetapi biar istana yang umumkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan hal ehwal luar bandar di Desaru Coast Conference Centre, Pengerang, pada 18 November.

Beliau memberi kepercayaan kepada kepimpinan negeri untuk mempersembahkan maklumat mengenai warkah itu. Hasil pertemuan Datuk Ismail Lasim dengan Tuanku Muhriz pula diserahkan kepada istana dan Datuk Ismail untuk diumumkan.

Terdahulu, media melaporkan pencalonan itu dikemukakan menyusuli surat peletakan jawatan Datuk Ismail sebagai Menteri Besar pada 16 November.

Ditanya mengenai penglibatan BN dalam kempen pilihan raya negeri Sarawak, Datuk Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kementeriannya tidak mahu terlibat dalam kegiatan berkempen.

“Sebagai parti kita tidak boleh bantu. Tetapi sebagai sebuah kementerian, Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ini mempunyai agensi-agensi untuk kumpulan sasaran tertentu, adalah lebih baik jika kita berada di sana untuk membantu memperjelaskan bukan sahaja soal-soal dasar kepada kepentingan untuk pemegang taruh, tetapi tentang pelaksanaan.

“Terdapat beberapa penangguhan projek di Sarawak yang perlu dijelaskan oleh pihak KKDW, kerana ia tidak boleh dijelaskan oleh pihak kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, KKDW akan menyerahkan kemudahan yang telah siap dibina dan memberi penjelasan kepada penduduk mengenai pelaksanaan serta kelewatan pembangunan di Sarawak.

Beliau memberi contoh rancangan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang sudah lama diluluskan tetapi belum dilaksanakan. Katanya, penjelasan perlu diberikan oleh KKDW kerana pembangunan itu di bawah tanggungjawab kementerian.

Badan di bawah KKDW, termasuk Mara, Risda dan Felcra, juga boleh membantu pembangunan di 82 kawasan Dewan Undangan Negeri Sarawak, katanya.

Sementara itu, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) merancang pembangunan akuakultur dan pusat pelancongan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, dengan anggaran pelaburan awal RM66 juta ($20 juta).

Menurut Datuk Ahmad Zahid, cadangan itu melibatkan usaha sama Kejora Agro Sdn Bhd dengan YHL Foods Sdn Bhd di atas tanah milik Kejora seluas 12.981 ekar di Mukim Tanjung Surat.

Pembangunan itu menyasarkan pengeluaran antara 2,000 dengan 6,000 tan hasil akuakultur sejuk beku setahun apabila mencapai daya pengeluaran yang dirancang, bagi pasaran Malaysia, Singapura dan pasaran luar negara lain.

Kejora turut bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Pengerang, Desaru Development Holding One Sdn Bhd dan ThinkCity bagi pembangunan Greater Desaru untuk meningkatkan kemudahan pelancongan dan peluang ekonomi penduduk.

Menurut Kejora, usaha itu turut menyokong matlamat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menerusi peluasan peluang pelaburan.