Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, dengan pelan induk kawasan itu akan diteliti bagi memastikan segala perancangan selari dengan agenda pertumbuhan ekonomi negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman, berkata langkah itu penting bagi membolehkan kawasan Tiram meraih manfaat daripada pembangunan pesat yang bakal dibawa menerusi JS-SEZ.

“Setakat ini, saya perlu melihat terlebih dahulu pelan induk DUN Tiram sebelum menentukan projek yang boleh dilaksanakan supaya ia selari dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Kompleks Tabika Kemas Kota Masai, Johor Bahru, pada 15 Julai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman, ketika mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Kompleks Tabika Kemas Kota Masai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman, ketika mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Kompleks Tabika Kemas Kota Masai. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurut Datuk Abdul Halim yang juga Setiausaha Umno Johor, kerajaan negeri akan berpandukan manifesto Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan projek serta inisiatif yang masih belum disempurnakan.

“Ketika ini, Menteri Besar sudah dilantik, namun barisan Exco masih belum dibentuk.

“Saya yakin segala dasar dan manifesto akan menjadi panduan kepada kerajaan negeri untuk meneruskan agenda pembangunan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Abdul Halim berkata projek pembinaan Kompleks Tabika Kemas Kota Masai yang tertangguh sejak 2025 dijangka disambung semula selepas kontraktor baharu dilantik hujung Ogos ini.

Menurutnya, projek bernilai kira-kira RM4.6 juta ($1.4 juta) itu pada asalnya dimulakan pada 2023, namun kontrak pembinaan ditamatkan pada Mei 2025 selepas kontraktor gagal menyiapkan kerja mengikut jadual.

“JKR memutuskan membuka tender semula dan saya dimaklumkan kontraktor baharu dijangka dilantik pada penghujung Ogos ini,” katanya.

Beliau menambah, pembinaan kompleks itu dijangka mengambil masa dua tahun dan berharap jawatankuasa teknikal yang melibatkan penghulu, ketua kampung, ahli majlis serta pegawai Kemas dapat memantau pelaksanaannya supaya projek tidak lagi mengalami kelewatan.

Kemudahan itu, ujar beliau, amat diperlukan penduduk kerana Kota Masai masih belum mempunyai kompleks Kemas yang lengkap.

Sementara itu, Datuk Abdul Halim berkata pihaknya turut berusaha menyelesaikan isu jalan penghubung antara Kota Masai, Bukit Pulai dengan Taman Pasir Putih yang berlarutan lebih 20 tahun.

Beliau berkata masalah itu berpunca daripada status tanah yang melibatkan pemilikan persendirian serta kawasan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sekali gus menyukarkan pembinaan jalan menggunakan peruntukan kerajaan.

“Kerajaan tidak boleh membina jalan di atas tanah persendirian melainkan mendapat persetujuan pemilik atau terdapat penyelesaian lain yang dibenarkan undang-undang,” katanya.

Menurut beliau, Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dijangka turun meninjau lokasi berkenaan dalam masa terdekat bagi menilai keperluan pembinaan jalan yang menjadi laluan utama penduduk ke sekolah dan tempat kerja.

Beliau berkata sebagai langkah sementara, pihak berkuasa tempatan bersetuju menjalankan kerja menampal jalan berlubang bagi meningkatkan keselamatan pengguna.

Datuk Abdul Halim berkata kira-kira 92 unit rumah di Kampung Bukit Pulai terjejas dengan isu berkenaan, dengan sebahagian penduduk telah menetap di kawasan itu lebih dua dekad.

“Saya tidak mahu membuat janji yang tidak mampu ditunaikan. Apa yang penting ialah kita mencari penyelesaian terbaik dan menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat,” katanya.

“Setakat ini, saya perlu melihat terlebih dahulu pelan induk DUN Tiram sebelum menentukan projek yang boleh dilaksanakan supaya ia selari dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.”
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman.