Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BN Melaka tak akan serah kerusi kepada PH bagi pilihan raya negeri

May 9, 2025 | 11:16 AM
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) yang menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ketika ini tidak akan menyerahkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kepada Pakatan Harapan (PH), termasuk cadangan pembahagian kerusi 14 BN dan 14 PH.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata semasa rundingan menjelang PRN lalu, PH sukar untuk bersetuju memberikan kerusi yang dimenangi parti komponennya kepada BN.

“Kali ini, senang-senang saja mereka mahu kerusi yang telah kami menang. BN tidak akan sama sekali menyerahkannya kepada PH.

“Jika tetap mahu, kita bertanding saja di tempat sama. Mudah. Untuk beri kepada kamu, tidak sama sekali dan boleh teruskan bermimpi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada 8 Mei, lapor Astro Awani.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau (Melaka) berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar berbahasa Cina bertajuk ‘Sembilan Cawangan DAP Melaka Meluluskan Resolusi Strategi 14 BN 14 PH pada PRN Melaka Akan Datang’.

Difahamkan, sembilan cawangan berkenaan ialah Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Baru Ayer Keroh, Merdeka Jaya, Sunshine, Taman Muzaffar Shah, Bukit Beruang Indah, Kubu dan Taman Kerjasama.

Dalam kenyataan bersama, semua cawangan itu menyatakan sokongan supaya BN dan PH masing-masing bertanding 14 daripada 28 kerusi DUN di Melaka, selaras dengan semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Usul tersebut dikatakan bertujuan memperkukuh mandat rakyat dan memastikan wakil rakyat terpilih benar-benar mencerminkan kehendak pengundi, sekali gus mengukuhkan kestabilan politik serta kesinambungan dasar di peringkat negeri dan Pusat.

Untuk rekod, Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dengan 21 dimenangi BN, lima dimenangi PH dan dua lagi oleh Perikatan Nasional (PN).

PRN Melaka dijangka diadakan selewat-lewatnya November 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg