Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PKR Selangor umum sokongan terbuka pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden

May 7, 2025 | 10:03 AM
Malaysia, Nurul Izzah Anwar, Parti Keadilan Rakyat, PKR
Sokongan terbuka kepada pencalonan Cik Nurul Izzah Anwar telah diumumkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor bagi jawatan Timbalan Presiden. Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata beliau yakin dengan Cik Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden kelak, PKR akan dapat menyusun semula barisan yang kuat, menyemai semula kepercayaan rakyat, dan memastikan parti itu kekal relevan, progresif serta berwibawa. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengumumkan sokongan terbuka kepada pencalonan Cik Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata penyataan sokongan terbuka itu dicapai bersama pimpinan dari seluruh cabang di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata Cik Nurul Izzah adalah antara wajah utama perjuangan PKR, dengan terus kekal istiqamah sejak hari pertama dan benar-benar percaya kepada semangat reformasi.

“Hari ini, ketika negara memasuki fasa semakin mencabar dari segi politik, ekonomi dan sosial, PKR mesti dipimpin oleh barisan kepimpinan yang bukan saja memahami akar sejarah parti tetapi juga mempunyai hala tuju yang jelas, mampu menguatkan struktur dalaman parti, serta menyatukan suara anggota dari bawah ke atas.

“Sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor, saya menyatakan sokongan terbuka bersama rakan pimpinan dari seluruh cabang Selangor terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR.

“Kita tidak hanya memerlukan pemimpin yang mahir berpidato atau memenangi kerusi. Kita memerlukan pemimpin yang faham denyut nadi anggota, bersedia mendengar akar umbi dan tahu meletakkan parti mengatasi kepentingan peribadi.

“Parti ini memerlukan seorang Timbalan Presiden yang tidak terikat dalam pentadbiran kerajaan, tetapi boleh memberi fokus kepada mengukuhkan kekuatan dalaman parti.

“Kita memerlukan sosok yang boleh memberi sepenuh tenaga untuk mempersiapkan PKR menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang dengan strategi kukuh, struktur tersusun dan semangat anggota yang segar,” katanya yang juga Ketua Cabang PKR Gombak dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Jawatan Timbalan Presiden PKR kini disandang Datuk Seri Rafizi Ramli, dengan pemilihan parti berlangsung pada hujung Mei.

Sebelum ini, beberapa pihak turut memberi sokongan terbuka kepada Cik Nurul Izzah untuk dicalon sebagai Timbalan Presiden dan ini termasuk PKR Pahang, Perak, Melaka, Wanita PKR dan sebilangan cabang PKR lain.

Mengenai sokongan pencalonan itu, Datuk Amirudin menekankan bahawa Cik Nurul Izzah bukan orang baru, sebaliknya telah berjuang sejak muda, menjadi suara anak muda dalam zaman penuh getir, ditahan dan dihina tetapi tidak pernah meninggalkan medan perjuangan.

Datuk Amirudin berkata beliau yakin dengan Cik Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden kelak, PKR akan dapat menyusun semula barisan yang kuat, menyemai semula kepercayaan rakyat, dan memastikan parti itu kekal relevan, progresif serta berwibawa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg