Topik diikuti
Pergi ke BHkuBom ikan rosakkan kawasan pemuliharaan terumbu karang di Semporna
Bom ikan rosakkan kawasan pemuliharaan terumbu karang di Semporna
Bom ikan rosakkan kawasan pemuliharaan terumbu karang di Semporna
SEMPORNA (Sabah): Kerajaan Sabah memandang serius insiden pengeboman ikan di kawasan Tapak Restorasi Terumbu Karang di Pulau Selakan, Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), yang mengakibatkan kemusnahan ekosistem marin dan kerugian besar kepada usaha pemuliharaan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata beliau melahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap kejadian berkenaan yang disifatkan sebagai ancaman serius kepada biodiversiti marin negeri itu.
Menurut beliau, maklumat awal mengenai kejadian diterima daripada Ranger Kehormat Taman pada 23 Mei kira-kira 11.40 pagi, namun suspek dipercayai sempat melarikan diri sebelum pasukan penguat kuasa TMTS tiba di lokasi kejadian.
“Hasil pemantauan awal oleh Community Marine Conservation Group (CMCG) mendapati terdapat dua kawah dipercayai berpunca daripada letupan bom ikan di kawasan restorasi terumbu karang tersebut,” katanya dalam kenyataan media pada 25 Mei.
Datuk Jafry berkata pemantauan lanjut yang dilaksanakan pada 25 Mei oleh Unit Penyelidikan Marin TMTS bersama Reef Check Malaysia dan CMCG mengesahkan insiden itu menyebabkan kerosakan serius terhadap ekosistem marin di kawasan berkenaan.
Jelasnya, sekurang-kurangnya 10 struktur reef star terjejas membabitkan keluasan kira-kira 15 meter persegi atau bersamaan 2.91 peratus daripada keseluruhan kawasan pemuliharaan.
Menurut beliau, antara spesies karang yang terjejas termasuk Acropora, Pocillopora, Fimbryphyllia, Montipora, Porites dan Plerogyra yang dipulihkan secara berterusan sejak dua tahun lalu menerusi usaha pemuliharaan pelbagai pihak.
Beliau berkata anggaran awal mendapati kos penyelenggaraan dan pemulihan kawasan terjejas mencecah RM96,000 ($30,948), manakala kerosakan struktur reef star dianggarkan bernilai RM3,000.
“Insiden ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja memusnahkan hasil usaha pemuliharaan marin yang dibangunkan sekian lama, malah turut mengancam kelestarian sumber perikanan, biodiversiti marin dan keselamatan pelancong,” katanya.
Datuk Jafry berkata kejadian itu juga berpotensi menjejaskan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan keluasan kawasan perairan TMTS yang mempunyai sempadan laut terbuka, kekangan aset penguat kuasa termasuk bot serta ketiadaan substesen atau pos kawalan tetap di Pulau Selakan menjadi antara cabaran utama dalam memperkukuh tindakan balas pantas di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau sudah meminta pihak Taman-Taman Sabah memperkukuh langkah strategik termasuk penempatan aset dan logistik, penggunaan teknologi dron serta meningkatkan kehadiran pasukan penguat kuasa di kawasan berisiko tinggi.
Beliau turut menyeru komuniti maritim, nelayan tempatan dan semua pihak berkepentingan supaya memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memelihara khazanah marin negeri dengan menyalurkan maklumat segera berkaitan aktiviti mencurigakan atau pencerobohan di kawasan taman marin.
“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan dan aktiviti yang mengancam kelestarian sumber semula jadi di kawasan perlindungan,” katanya.
