Bomba Johor: 80% kebakaran tanah gambut Bayu Damai dipadam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bomba Johor: 80% kebakaran tanah gambut Bayu Damai dipadam

Bomba tingkatkan serangan darat dan water bombing bagi elak api marak semula akibat angin kencang
Jan 29, 2026 | 6:35 PM

Bomba Johor: 80% kebakaran tanah gambut Bayu Damai dipadam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menggunakan pam hidraulik bagi membanjiri dan memadamkan kebakaran hutan tanah gambut di sekitar kawasan Taman Bayu Damai.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menggunakan pam hidraulik bagi membanjiri dan memadamkan kebakaran hutan tanah gambut di sekitar kawasan Taman Bayu Damai. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Operasi memadam kebakaran tanah gambut di kawasan Taman Bayu Damai, Pengerang di Johor kini memasuki fasa akhir. Sehingga 4 petang 29 Januari, kira-kira 80 peratus atau 196 ekar daripada keseluruhan 246 ekar kawasan telah berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Encik Mustakim Abdul Hady, menjelaskan baki 20 peratus lagi hanya melibatkan titik panas kecil dan sisa puing yang masih berasap.

“Setakat 4 petang 29 Januari, kita telah memadamkan 80 peratus kebakaran. Baki 20 peratus ini hanyalah puing kecil dan hotspot (kawasan panas) kecil,” katanya di Pos Kawalan Operasi.

“Semua hotspot besar telah dipadamkan, tinggal titik-titik kecil yang perlu kita hapuskan segera bagi mengelakkan api marak semula.”

Kawasan operasi dibahagikan kepada sembilan sektor. Dua sektor terakhir dikenal pasti masih mempunyai sisa kebakaran berskala kecil.

Usaha pemadaman di kawasan yang sukar diakses dibantu oleh operasi water bombing menggunakan helikopter, manakala kawasan lain ditangani melalui operasi darat.

“Kita sasar untuk selesai sepenuhnya hari ini juga jika keadaan mengizinkan. Jika ada baki kecil, operasi mungkin berlanjutan hingga esok, tetapi skala kebakaran ketika akan sangat minimum,” katanya.

Encik Mustakim menekankan, potensi titik panas kecil untuk merebak semula jika ditiup angin dan cuaca panas berterusan, justeru tindakan pantas diperlukan.

“Daripada titik kecil ini, bila ditiup angin, api boleh marak semula kerana di dalam tanah gambut ada ranting kering yang masih menyimpan haba. Sebab itu kita fokus padamkan sepenuhnya,” katanya.

Mengenai operasi udara, sebanyak 42 siri water bombing dilakukan pada 28 Januari, dan lebih 40 siri lagi dilaksanakan pada sebelah pagi 29 Januari, dengan operasi dijangka diteruskan pada waktu petang bergantung kepada faktor cuaca, sumber air dan jarak punca air.

“Kita guna air tasik sebagai sumber utama kerana kita tidak mahu gunakan air laut yang boleh menjejas kesuburan tanah. Air laut hanya digunakan sebagai pilihan terakhir jika tiada sumber lain,” katanya.

Beliau turut menerangkan sifat kebakaran tanah gambut yang lebih rumit, dikenali sebagai underground fire atau api bawah tanah.

Api merebak di bawah permukaan melalui struktur tanah berongga yang mengandungi sisa kayu dan ranting lama, dan boleh muncul di lokasi lain tanpa dikesan di permukaan.

“Ia berbeza dengan kebakaran belukar atau hutan yang berlaku di atas tanah,” katanya.

Untuk mempercepatkan pemadaman, JBPM Johor menggerakkan 66 anggota bomba, dibantu lima anggota polis, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta pasukan udara melibatkan 17 anggota.

Sementara itu, penduduk terjejas, Encik Mohammad Fauzi Abu Bakar, 38 tahun, berkata kebakaran mula disedari pada 23 Januari apabila asap nipis kelihatan sebelum keadaan bertukar semakin buruk akibat angin kencang dan cuaca panas.

“Pada mulanya nampak pembakaran kecil saja, asap pun tak banyak. Tapi bila angin makin kuat dan panas, asap jadi semakin tebal dan hala terus ke kawasan perumahan,” katanya.

Menurut beliau, keadaan menjadi kritikal pada petang hari sama apabila asap tebal menyelubungi kawasan kediaman sehingga jarak penglihatan terhad dan penduduk mengalami kesukaran bernafas.

“Rumah sebelah pun tak nampak. Kami boleh kata lemas, nak bernafas pun susah. Api makin menghampiri kawasan perumahan dan bomba memang datang cepat, tapi angin kuat buatkan api sukar dikawal,” katanya.

Beliau berkata penduduk diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Bayu Damai pada hari kejadian dan sebahagian penduduk berada di PPS antara empat hingga lima hari.

“Alhamdulillah hari ini nampak keadaan jauh lebih baik. Asap banyak berkurang berbanding beberapa hari sebelum ini,” katanya yang telah menetap di kawasan itu lebih 11 tahun.

Encik Mohammad Fauzi turut memaklumkan kawasan tersebut sememangnya dikenal pasti sebagai kawasan berisiko kebakaran tanah gambut, dengan kejadian hampir sama pernah berlaku sekitar tahun 2004, namun tidak seteruk kali ini kerana arah angin ketika itu tidak menuju ke kawasan perumahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg