KUALA LUMPUR: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun, Izz Imil Shahrom mencipta sejarah sebagai pelajar paling muda diterima masuk ke Universiti Malaya di Malaysia.
Disifatkan sebagai seorang prodigi, Izz mempunyai minat yang mendalam dalam mata pelajaran Matematik, yang telah memberi inspirasi kepadanya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam subjek tersebut.
Izz telah ditemu bual oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh universiti, dan kemudiannya diluluskan untuk mendaftar dalam program Sarjana Muda Sains dalam Matematik di Fakulti Sains, mengikut laporan akhbar Bernama dan The Star.
Terletak di Kuala Lumpur, Universiti Malaya kini berada di kedudukan ke-60 dalam Ranking Universiti Dunia QS 2025.
Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Noor Azuan Abu Osman berkata:
“Memandangkan usia Izz Imil yang masih muda, pihak universiti meminta semua pihak memberi ruang dan privasi untuk pelajar itu melalui proses pembelajaran dan penyesuaian di universiti.”
“Ini penting untuk memastikan dia mengalami proses pertumbuhan yang kondusif sambil berjaya melanjutkan pelajarannya,” tambahnya.
Menurut laporan Malay Mail, ketika berusia enam tahun, Izz telah didaftarkan di tingkatan satu bagi program Permata Pintar untuk mengasah bakat prodigi pada April 2009 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dia kemudiannya berjaya tamat peperiksaan GCE peringkat ‘O’ pada usia lapan tahun dan GCE peringkat ‘A’ pada usia 11 tahun serta menerima sijil daripada John Hopkins Center for Talented Youth.
Menteri Pendidikan Tinggi Encik Zambry Abdul Kadir turut bertemu Izz di universiti dan kemudiannya berkongsi kata-kata semangat di Facebook.
Beliau juga menambah bahawa Izz adalah “sama seperti kanak-kanak lain seusianya” dan seorang yang “ceria dan fasih”. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg