Seorang murid 10 tahun di Pulau Pinang yang tercekik gula-gula getah (gummy), Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, meninggal dunia pada 20 Februari, selepas tiga hari bertarung nyawa.
Allahyarham, yang tercekik pada 18 Februari, menghembuskan nafas terakhirnya sekitar 11 malam ketika menerima rawatan di Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kanak-kanak itu dilaporkan membeli gula-gula getah berbentuk mata di sebuah gerai di hadapan sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Sungai Dua di Butterworth, Pulau Pinang, pada 18 Februari, sebelum dikatakan tercekik kira-kira 2.30 petang dan sukar bernafas.
Allahyarham dikatakan sempat berjalan ke arah seorang guru sebelum rebah tiba-tiba dan dikejarkan ke HPP.
Ibu bapa Allahyarham, Encik Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35 tahun, dan Cik Nuraini Mohamad Isa, 37 tahun, berada di sisi anak sulung mereka itu dan sempat membisikkan kalimah syahadat sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia.
“Tangan yang menjaganya sejak kecil akhirnya memandikan dan kafankannya,” kata Encik Mohamad Fakhruddin dengan sebak, lapor Berita Harian Malaysia.
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang berkata pasukan penyiasat jabatan itu sudah melakukan pemeriksaan di premis yang dikenal pasti menjual makanan ringan itu dan menyita gula-gula, Gummy Original Basketball Soft Candy’s, terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Encik Daniel Gooi Zi Sen, berkata dalam satu kenyataan bahawa siasatan lanjut dan tindakan susulan akan diselaraskan pada peringkat ibu pejabat menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata ia bertujuan memastikan semua prosedur keselamatan dipatuhi dan langkah pencegahan diambil bagi mengelak kejadian berulang pada masa depan.
Dalam pada itu, Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan tekstur gula-gula gummy eyeball itu yang licin dan kenyal menyebabkan ia mudah tergelincir terus ke dalam tekak sebelum sempat dikunyah, sekali gus menjadikannya sangat berbahaya.
Dalam satu perkongsian di Facebook, PHM menegaskan gula-gula tersebut boleh menjadi perangkap maut kerana ia adalah penyendal sempurna saluran pernafasan kanak-kanak.
“Bentuknya bulat dan besar, oleh itu jika tidak dikunyah sempurna, ia boleh tersangkut di saluran pernafasan.
“Ia juga sukar dikeluarkan jika tersedak. Berbeza daripada makanan keras yang boleh dihentak keluar, gula-gula ini melekit dan boleh menyumbat saluran udara sepenuhnya,” ujar PHM.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg