Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Bufet durian’ di Johor tunggu warga S’pura setiap hari

Lokasi dusun seperti di Yong Peng, Tangkak dan Taman Sutera di Johor Bahru kerap dapat kunjungan pelanggan
Jul 4, 2025 | 12:35 PM
musim durian, pekebun Johor, pelawat S’pura
Pengusaha Dusun Durian Landak, Encik Abdul Hadi Ahmad Sani, 47 tahun, menunjukkan durian jenis ‘IOI’ yang ditanam di ladangnya di Pekan Nenas, Pontian, Johor. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Musim durian 2025 bukan sahaja membuka peluang besar kepada pengusaha tempatan, bahkan dapat menarik ribuan peminat raja buah dari seberang Tambak, khususnya dari Singapura, yang sanggup merentas sempadan demi menikmati durian tempatan pada harga jauh lebih rendah.

Di Dusun Durian Landak yang diusahakan Encik Abdul Hadi Ahmad Sani, 47 tahun, yang terletak di Pekan Nenas, Johor, sambutan luar biasa telah mendorong beliau menyediakan pakej bufet durian.

“Dusun ini berkeluasan enam ekar dengan lebih 75 pokok durian. Selain itu, kami juga pajak tanah di tempat lain berkeluasan 50 ekar yang menempatkan lebih 500 pokok durian,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Menurutnya, operasi dusunnya kini dibantu 10 pekerja tetap yang akan mengutip hasil daripada kira-kira 300 pokok setiap hari.

Semasa awal musim, pengeluaran harian mencecah kira-kira 1.2 tan, dan dijangka meningkat kepada 1.5 hingga 1.6 tan sehari sepanjang kemuncak musim.

“Kami kumpul lebih satu tan durian setiap hari dan disebabkan musim tahun ini besar, sambutan memang menggalakkan.

“Kami cuba anjurkan bufet buat penggemar durian dan kebanyakan pelanggan kami, hampir 50 peratus, datang dari Singapura,” katanya.

Encik Abdul Hadi berkata kebanyakan pelancong Singapura datang secara berkumpulan menggunakan MPV atau bas rombongan, manakala selebihnya adalah pengunjung tempatan dari Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kota Tinggi.

“Untuk mudahkan pelawat Singapura, kami sediakan sebuah MPV yang boleh muat enam orang satu perjalanan, pergi dan balik dari Bangunan Sultan Iskandar (BSI),” kongsinya.

Antara jenis durian yang ditawarkan di dusun itu termasuk Durian Kampung, Landak King, IOI, Udang Merah, D13, Musang King dan durian kahwin dengan harga bermula daripada RM8 ($2.40) hingga RM50 sekilogram.

Namun, katanya, harga dijangka turun dalam minggu-minggu mendatang kerana lambakan bekalan di pasaran.

“Kami pekebun mahu jual terus. Kalau simpan lama sangat, risau buah rosak dan tidak boleh dijual,” ujarnya.

Encik Abdul Hadi menambah, musim durian di Johor dijangka berterusan hingga Ogos dan beliau berharap dapat memanfaatkan peluang itu sepenuhnya, sambil memperkenalkan buah tempatan kepada lebih ramai pengunjung dari luar negara.

Pemandu pelancong dari Singapura, Cik Nurul Amira Salimi, 30 tahun, berkata ejen pelancongan di Singapura aktif mengatur pakej ‘durian tour’ ke Johor sejak awal Jun hingga Ogos setiap tahun.

“Dalam tempoh ini, setiap hujung minggu, sekitar 15 hingga 20 bas dari Singapura masuk ke Johor ke lokasi dusun seperti Yong Peng, Tangkak dan Taman Sutera di Johor Bahru,” katanya.

Menurutnya, pelancong tertarik bukan sahaja dengan pilihan durian yang pelbagai, bahkan juga perbezaan harga yang sangat ketara.

“Di Singapura, Musang King boleh mencecah $80 sekilogram, tetapi di sini hanya sekitar RM80. Jadi memang sangat berbaloi untuk datang semata-mata nak makan durian segar dari dusun,” katanya.

Bagi Cik Sapiah Maswari, 79 tahun, dari Bukit Batok, ini merupakan kali pertama beliau menyertai rombongan durian ke Johor dan berkata ia sangat berbaloi kerana bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah dapat menikmati pelbagai jenis durian segar yang sukar diperoleh di Singapura.

“Dulu saya makan durian di Singapura sahaja, tetapi mahal dan tak banyak pilihan.

“Saya suka Musang King, tapi di Singapura harganya terlalu mahal. Di sini bukan saja murah, tapi kita boleh pilih macam-macam jenis durian,” katanya sambil tersenyum puas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg