TERLETAK sejauh kira-kira 200 kilometer (km) dari Kuala Lumpur, Jerantut mungkin hanya dikenali sebagai pekan terbesar di Pahang. Selebihnya, ia gah dengan kisah-kisah kepahlawanan Mat Kilau dan Pawang Nong, yang masing-masing mencatat sejarah tersendiri.
Namun, Jerantut turut menawarkan keindahan semula jadi yang tidak kurangnya terutama bagi pencinta alam sekitar. Misalnya, baru-baru ini keindahan luar biasa flora hutan hujan tropika di Jerantut mencuri perhatian apabila dua kuntum bunga pakma atau nama saintifiknya Rafflesia cantleyi mekar serentak di Hutan Sungai Rengat, Ulu Cheka yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Jerantut Tambahan.
Selain di Borneo dan Kelantan, bunga pakma yang dikenali sebagai antara spesies bunga terbesar di dunia itu turut ditemui di Jerantut, malah sebelum ini Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) turut mengesan kehadirannya di tiga lagi daerah di negeri ini, iaitu Raub, Lipis dan Pulau Tioman.
Pemandu Pelancong Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Encik Rahmat Swarno, 32 tahun, berkata bunga pakma sememangnya sukar ditemui dalam keadaan mekar.
Kemunculannya yang jarang-jarang, bentuknya yang unik, serta bersaiz gergasi menjadikan ia fenomena semula jadi yang amat dinanti-nantikan, terutamanya oleh pencinta alam dan jurugambar hidupan liar.
“Bunga ini sangat istimewa kerana hidup sebagai parasit sepenuhnya pada pokok perumah tanpa memiliki batang, daun mahupun akar,” katanya, menurut laporan Berita Harian Malaysia.
Katanya, struktur bunga pakma menyerupai kulat, tumbuh daripada tisu pokok tumpang. Namun prosesnya untuk tumbuh, daripada tunas-tunas kecil hinggalah mekar, mengambil masa antara sembilan hingga 12 bulan.
Namun ironi alam begitu kuat, ia hanya mekar selama seminggu sebelum layu dan mati. Di Hutan Simpan Jerantut Tambahan, kelopak gergasi merah jingga itu terbuka megah di atas lantai hutan dengan saiz mekarnya dianggar antara 25 hingga 50 sentimeter.
Lebih menarik, terdapat lebih 30 kudup yang dijangka akan mekar secara berperingkat dalam tempoh dua hingga enam bulan akan datang, memberikan harapan kepada lebih ramai pengunjung untuk menyaksikan fenomena ini secara langsung.
Bagi pengunjung dari Kuala Lumpur, Encik Adrian Lee, 55 tahun, beliau teruja untuk meneroka hutan hijau tropika di Ulu Cheka selepas melihat video berkaitan bunga pakma di situ yang tular di media sosial.
Katanya, beliau terus datang ke Ulu Cheka bagi menikmati sendiri keindahan bunga pakma mekar, yang disifatkannya sebagai kebanggaan tempatan, selain turut menarik kunjungan pelancong luar.
“Bunga ini menjadi daya tarikan ekopelancongan semula jadi kerana keunikan bunga pakma itu mampu jadi tarikan pelancongan, apatah lagi ia hanya berbunga setahun sekali,” katanya.
Namun katanya, pesona bunga itu turut berhadapan cabaran kerana ia sangat sensitif terhadap gangguan habitat. Justeru, kawalan terhadap bilangan pengunjung, laluan yang dibenarkan serta panduan konservasi amatlah penting bagi memastikan spesis itu terus kekal.
“Pihak berkuasa disaran untuk mengadakan lawatan berpandu, sistem kuota harian atau laluan khusus bagi mengawal impak pelancongan dan mendidik pengunjung mengenai nilai konservasi flora hutan hujan tropika,” katanya.
Lain pula cerita bagi Cik Maria Zainuddin, 58 tahun, yang berkongsi pengalaman perjalanan menuju lokasi mekarnya pakma.
Katanya, perjalanannya dari Kampung Koi yang masih dalam peta Ulu Cheka memakan masa 20 minit menaiki kenderaan ke lokasi. Setelah itu beliau perlu berjalan kaki merentas bukit dan meredah belukar selama sejam untuk melihat sendiri kelopak-kelopak pakma yang berkembang.
“Penat, memang penat... namun semua keletihan hilang apabila sampai di lokasi dan dapat melihat bunga ini mekar di hadapan mata sendiri. Saya sangat teruja, ini adalah pengalaman yang sangat berharga,” katanya.
Tambah Cik Maria, melihat mekarnya pakma mengingatkannya kepada kekayaan flora dan fauna negara yang perlu dihargai dan dilindungi.
Justeru katanya, pengunjung yang mahu melihat sendiri kemekaran bunga pakma perlu juga menghormati prinsip alam sekitar, misalnya tidak menyentuh bunga itu.
Tindakan sedemikian, katanya, hanya akan mempercepatkan lagi proses pereputan bunga berkenaan.
“Sebagai warisan biodiversiti negara, bunga pakma bukan sekadar keunikan botani, tetapi simbol kepada kekayaan khazanah semula jadi Malaysia yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan,” kata Cik Maria.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg