Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Catopia tarikan baru untuk pencinta kucing di Shah Alam

Dibuka sejak Julai, ia taman permainan pertama khas untuk kucing di M’sia
Aug 18, 2024 | 5:30 AM
Pasangan suami isteri, Encik Asrof Rohani, 35 tahun, dan Cik Nor Hafifah Mokhtar, 31 tahun, merasakan Catopia di Selangor ialah taman permainan yang selamat untuk kucing mereka, Lulu, yang tidak biasa terdedah dengan dunia luar.
Pasangan suami isteri, Encik Asrof Rohani, 35 tahun, dan Cik Nor Hafifah Mokhtar, 31 tahun, merasakan Catopia di Selangor ialah taman permainan yang selamat untuk kucing mereka, Lulu, yang tidak biasa terdedah dengan dunia luar. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Taman rekreasi dan permainan bukan lagi hanya terhad buat kanak-kanak, malah kucing juga kini sudah mempunyai lokasi riadah tersendiri.

Diberi nama Catopia, ia adalah taman rekreasi dan permainan berkonsep terbuka khusus buat kucing.

Mula dibuka sejak Julai lalu, Catopia yang terletak di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor, adalah taman kucing pertama seumpamanya di Malaysia.

Inisiatif pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), itu menjanjikan pengalaman unik bukan sahaja buat kucing dan pemiliknya.

MBSA melihat pembinaan Catopia sebagai satu usaha untuk mendidik dan memberikan pendedahan lebih meluas kepada orang ramai terhadap kepentingan kesejahteraan haiwan dalam mewujudkan keseimbangan ekosistem.

Dengan berkonsepkan taman permainan mini, Catopia dilengkapi 12 elemen menarik seperti pancuran air dan tempat minum kucing, dataran permainan, kawasan berpasir, kondominium kucing, rumah pokok, jambatan, set permainan beroda, terowong, gegelung, permainan bertali dan kawasan memanjat untuk kucing.

Sesuai keunikan Catopia yang dibina eksklusif buat si comel, hanya mereka yang membawa kucing sahaja dibenarkan masuk ke sini.

Pengunjung yang datang tanpa membawa kucing tidak dibenarkan masuk, bagi menjaga keselamatan kucing dan mengelak kesesakan lantaran alat permainan disediakan di situ turut menarik perhatian kanak-kanak.

Tinjauan Berita Minggu ke Catopia merakamkan pelbagai momen menarik aksi si comel dengan tuannya.

Kebanyakan kucing yang dibawa bermain di Catopia ialah kucing peliharaan yang biasanya manja dan hanya ‘terkurung’ di rumah, justeru gelagat si comel dapat bermain di taman terbuka amat menghiburkan.

Pemilik kucing, Cik Syazwa Syahrul Kamal, 25 tahun, begitu teruja membawa haiwan peliharaannya yang diberi nama Omey ke taman kucing itu buat kali pertama, selepas mengetahui mengenainya menerusi media sosial.

“Omey adalah kucing yang sangat takut hendak pijak rumput. Awalnya Omey menjerit-jerit ketika tiba di sini, lama kelamaan nampak seronok dan tak mahu balik pula,” katanya yang menganggap Omey, berusia setahun dua bulan itu sebagai ‘bayi’ sulungnya.

Eksekutif Petronas itu yang sedang sarat hamil memuji inisiatif MBSA mewujudkan Catopia yang dilihat tempat selamat dan menarik untuk kucing bermain dan dalam masa sama menjadi lokasi riadah untuk pencinta kucing.

“Bagi saya Catopia ini sangat bagus kerana saya percaya banyak keluarga mempunyai kucing sebagai haiwan peliharaan.

“Jadi haiwan ini juga perlu tempat bermain yang selamat dan menarik seperti ini. Taman seperti ini juga sangat bagus untuk hilangkan tekanan kucing,” katanya menjelaskan Omey adalah kucing yang manja dan lebih sukakan suasana redup dan sejuk.

Pasangan suami isteri, Encik Asrof Rohani, 35 tahun, dan Cik Nor Hafifah Mokhtar, 31 tahun, sudah beberapa kali membawa kucing mereka bernama Lulu, iaitu baka campuran eksotik dan parsi, beriadah ke Catopia kerana yakin aspek keselamatan di taman berkenaan.

“Kucing indoor (dalam rumah) kita susah nak lepas. Catopia ini berpagar jadi kita tidak bimbang keselamatannya. Selain kucing dapat bermain, kami juga dapat luang masa bertiga pada hujung minggu,” kata Encik Asrof.

Bagi penuntut universiti, Cik Nur Adriana Banu Jefridin, 19 tahun, Catopia memberikan pengalaman menarik buat kucingnya yang dipanggil Kimi kerana banyak permainan tersedia buat si bulus, membuatkan beliau sanggup memandu hampir sejam dari Dengkil untuk ke Shah Alam.

“Jika di rumah tidak banyak mainan, di sini Kimi boleh teroka bermacam permainan terutama memanjat dan nampak ia sangat seronok.

“Saya ada 19 kucing dan semuanya termasuk Kimi adalah kucing yang manja dan lebih suka duduk dalam bilik berhawa dingin. Malah mereka juga obes (gemuk). Jadi apabila bawa keluar begini, boleh mereka teroka dan dapatkan cahaya matahari,” katanya.

Ketika ini Catopia yang turut menjadi tarikan pelancong, dibuka secara percuma kepada pengunjung setiap hari bermula 10 pagi hingga 7 malam. Bagaimanapun, selepas Disember nanti, mungkin ada bayaran akan dikenakan kepada pengunjung untuk menampung kos penyelenggaraan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg