GEORGETOWN (Pulau Pinang): Seorang penjual kuih dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang, pada 18 Julai, atas kesalahan sengaja menyebabkan kematian kucing, pada 31 Mei lalu.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu terhadap Faizul Azlan Ridzuan, 47 tahun, selepas tertuduh mengaku salah dengan sengaja menyebabkan kematian kucing kira-kira 8.30 pagi.
Dia didakwa menyebabkan kematian kucing itu dengan memasukkannya ke dalam guni dan dicampak ke dalam parit di Kota Giam, Jelutong, Georgetown.
Tertuduh pada 5 Jun lalu mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan, bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah apabila kes disebut semula pada 18 Julai, lapor Sinar Harian.
Dengan perbuatan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan perbuatan khianat terhadap haiwan.
Kes seumpamanya bukan kali pertama berlaku. Sebelum ini beberapa individu turut diheret ke mahkamah kerana menyebabkan kematian kucing.
Sebelum ini pada 21 Mei lalu, seorang lelaki, Jefri Drahman, 33 tahun, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak, kerana memenggal kepala seekor kucing milik jirannya.
Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang tular membakar anak kucing hidup-hidup dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret Kajang, Selangor pada 27 Jun lalu.
Pada 28 Mac 2023 pula, lelaki yang didakwa membunuh dan menyimpan puluhan bangkai kucing di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun serta denda RM50,000 ($14,329).
Hukuman tersebut dijatuhkan Mahkamah Kuala Lumpur selepas lelaki berasal dari Sarawak itu didapati bersalah kerana menyebabkan kesengsaraan hingga kematian kucing-kucing di bawah jagaannya.
Kes itu yang menjadi kes duluan atau yang pertama seumpamanya dituduh mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 sejak ia diperkenalkan di Malaysia, turut mendapat perhatian Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia).
Puluhan bangkai yang dipercayai bangkai kucing disimpan di kondominium terbabit dan perkara itu terbongkar selepas pemilik rumah membuat pemeriksaan dan menemui anggota badan haiwan yang dikerat-kerat, selain daging dikisar lumat di dalam kondominum terbabit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg