BAGAN SERAI (Perak): Seorang usahawan tidak menyangka percubaannya mengubah suai menu cendol biasa kepada cendol berisi durian bergred premium membuahkan hasil apabila gerainya di Kampung Matang Merbau kini menjadi tumpuan peminat makanan, bukan sahaja di kawasan Utara tetapi dari seluruh negara.
Sekali gus, inisiatif Cik Nor Hasniza Hassan, 38 tahun, yang telah lama berkecimpung dalam bidang tersebut berjaya merekodkan jualan bulanan yang memberangsangkan.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata sebelum ini, jualan hariannya adalah pulut durian dan serawa.
Namun beliau memberanikan diri untuk mempelbagaikan menu unik itu kepada tawaran cendol durian premium yang menggunakan pelbagai variasi durian Musang King, udang merah, Holo, Lipan, D14 dan 604.
“Tak sangka cerita mengenai kesedapan cendol durian premium yang mula ditawarkan tahun ini (2025) telah tersebar dalam kalangan penduduk dan pelanggan yang singgah di gerai ini.
“Setiap mangkuk dimuatkan dua hingga tiga ulas isi durian bersama cendol, pulut dan ais krim.
“Pelanggan juga diberi pilihan sama ada cendol biasa yang dijual pada harga RM6 ($1.80) manakala cendol durian premium dijual pada harga RM15,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Cik Nor Hasniza menerangkan gerainya yang hanya beroperasi tiga hari seminggu sahaja bermula Jumaat hingga Ahad bermula 12 tenga hari hingga 12 tengah malam itu turut menjual lebih daripada 10 jenis durian segar termasuk Musang King dan udang merah dari Balik Pulau, Pulau Pinang.
Sementara itu, seorang peminat durian dari Rawang, Selangor, Cik Nurul Aini Mat Yasin, 35 tahun, berkata beliau dan suaminya mengunjungi gerai cendol tersebut kerana mahu mencuba sesuatu yang unik di gerai Cik Nor Hasniza.
“Saya menemani suami ke Pulau Pinang atas urusan kerja dan di sana kami mendapat tahu mengenai kewujudan gerai ini.
“Jadi dalam perjalanan pulang ke rumah kami singgah ke sini dulu, ternyata usaha kami berbaloi, cendol ini sungguh menyelerakan,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg