KOTA BHARU: Seakan tidak lengkap berbuka puasa jika tiada juadah cendol yang boleh dinikmati sama ada dengan air gula atau santan bersama gula melaka.
Bagi rakyat negeri ini, menu cendol sangat sinonim dengan Ramadan dan peminatnya bukan sahaja dalam kalangan dewasa tapi juga kanak-kanak yang boleh memvariasikan cara menikmatinya.
Bagi pengusaha cendol dari Kampung Pak Simpol, Melor, di sini, Cik Norhayati Daud, 41 tahun, penghasilan cendol meningkat dua kali ganda sepanjang Ramadan bagi memenuhi permintaan untuk jualan di bazar serta tempahan pelanggan.
“Pada hari biasa saya hanya gunakan 15 kilogram (kg) tepung beras setiap hari tapi sepanjang ia meningkat kepada 30kg yang mampu menghasilkan 500 bungkus cendol.
“Kerja memproses cendol dimulakan pada waktu malam dengan penyediaan bahan asas seperti mengisar daun pandan diikuti memasak adunan,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia di bengkel pembuatannya di sini, pada 14 Mac.
Cik Norhayati berkata perusahaan cendol itu diwarisi dari neneknya, Cik Asah Che Mat, 80 tahun, yang sudah membuat cendol sejak puluhan tahun lalu dan semenjak lima tahun lalu baru beliau mengambil alih sepenuhnya.
Menurut Cik Norhayati lagi, meskipun membesar dengan sering melihat proses pembuatan oleh neneknya namun pada peringkat awal untuk menghasilkan sendiri, beliau gagal mengekalkan ‘air tangan’ neneknya itu.
“Rupanya apa yang dilihat tidak akan menjadi jika tidak dipraktikkan dan selama setahun juga percubaan dibuat sebelum cendol yang terhasil menjadi sama seperti Nenek buat.
“Paling penting adalah mengekalkan struktur ‘gedik’, iaitu lembut dan tidak mudah patah sebab itu ah kami namakannya sebagai cendol gedik,” katanya, yang turut dibantu suaminya, Encik Mohd Anuar Mohamad, 41 tahun.
Cik Norhayati berkata kelainan cendol yang dihasilkannya adalah tidak menggunakan pewarna untuk menjadikan cendol berwarna hijau seperti kebanyakan pengusaha lain sebaliknya memasukkan air kisaran daun cekur manis.
Selain itu, beliau juga menghasilkan cendol dalam dua versi iaitu kosong dan disertakan bersama santan serta gula melaka bagi memudahkan pelanggan menikmati secara terus.
“Untuk yang kosong, ia dijual pada harga RM2 sebungkus, manakala yang lengkap dengan santan serta gula melaka pula RM3 sebungkus dan kesemua cendol ini akan dihantar ke 15 bazar Ramadan serta pelanggan tetap,” katanya yang juga mengambil tempahan katering cendol.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg