JOHOR BAHRU: Beberapa lelaki warga asing bertempiaran lari sebaik sebuah kedai makan yang menjadi ‘port’ untuk tidak berpuasa di kawasan Pasar Borong Pandan, di sini diserbu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) pada 17 Mac.
Selain lari melalui pintu belakang premis, mereka yang tidak sedar akan kehadiran pihak berkuasa dilihat asyik menyuap makanan dan menghirup minuman secara terbuka, lapor Berita Harian Malaysia.
Berdasarkan maklumat, kedai makan itu mengenakan caj RM320 ($96.30) sebulan kepada setiap pelanggan yang mahu makan tengah hari di premis berkenaan termasuk sepanjang Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata kedai makan milik warga tempatan itu merupakan lokasi ketiga diserbu pihaknya pada 17 Mac, sebagai sebahagian langkah pemantauan selain hasil maklumat awam.
“Tiada tangkapan dilakukan melalui dua serbuan awal, manakala serbuan di lokasi terakhir, ramai warga asing beragama Islam ditahan sedang menjamu selera.
“Ketika serbuan, ada yang tengah menyuap makanan, ada yang menghirup minuman secara terbuka. Ini perbuatan yang tidak menghormati kesucian agama Islam khususnya di bulan Ramadan.
“Walaupun bukan orang tempatan, selagi mereka beragama Islam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah itu terpakai juga untuk mereka bagi dikenakan tindakan,” katanya.
Encik Mohd Fared berkata setiap yang ditahan boleh dikenakan kompaun RM1,000 atau dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Katanya, mereka akan diberikan notis untuk dipanggil ke Bahagian Penguatkuasaan sebelum tindakan selanjutnya.
“Kita juga akan minta pihak Jainj bersama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat semakan secara menyeluruh sekiranya terdapat peniaga yang seakan menggalakkan orang Islam makan secara terbuka. Jika mereka tak jual, tak ada yang beli.
“Begitu juga dengan pemilik premis ini, kita akan panggil untuk disiasat, bagaimana perkara ini boleh dibenarkan,” tegasnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg