KAJANG (Selangor): Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, dan 12 lelaki lain dihukum penjara 15 bulan kerana menganggotai pertubuhan menyalahi undang-undang.
Isteri Nasiruddin dan lapan wanita pula didenda RM4,500 ($1,404) atas kesalahan sama oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang pada 7 November.
Nasiruddin Mohd Ali dan 21 individu lain itu, sebelumnya mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menjadi anggota GISBH yang juga sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang.
Semua tertuduh membuat pengakuan itu, selepas tuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan hakim, lapor Berita Harian Malaysia.
Mereka sebelum ini didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Namun Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi dikemukakan kesemua tertuduh bagi mengkaji pertuduhan dihadapi mereka.
Mengikut tuduhan pilihan itu, semua mereka didakwa menjadi anggota GISBH yang juga sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Encik Shafiq Hasim, Encik Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Cik Norinna Bahadun manakala peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili kesemua tertuduh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg