JOHOR BAHRU: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) memfailkan permohonan habeas corpus (perintah membebaskan tahanan atas sebab penahanan tidak sah mengikut undang-undang) pada 30 Oktober, bagi mencabar penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.
Permohonan itu difailkan Nasiruddin Mohd Ali di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor, bersama isteri, Azura Md Yusof, 57 tahun, dan seorang lagi, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28 tahun.
Nasiruddin, 67 tahun, Azura dan Mohamad Suhaimi selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri; Ketua Polis Negara; Pendakwa Raya; Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur serta Kerajaan Malaysia, sebagai responden.
Berdasarkan permohonan, perintah supaya writ habeas corpus dikeluarkan bagi membebaskan pemohon daripada tangkapan dan penahanan tidak sah oleh responden, selain pemohon perlu dibawa ke mahkamah secepat mungkin, lapor Berita Harian Malaysia.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar menetapkan 4 Disember depan bagi pendengaran permohonan berkenaan bagi membolehkan peguam mewakili pemohon dan responden memberi hujahan masing-masing.
Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin, Azura dan Suhaimi dan 19 yang lain didakwa atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1) di bawah Sosma di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor.
Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka yang dituduh kerana kes itu mengikut Sosma yang berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut tuduhan, semua 13 lelaki dan sembilan wanita berkenaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, Selangor, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Datuk Rosli Kamaruddin, yang mengetuai pasukan pembelaan semua tertuduh berkata permohonan sama akan difailkan di Selangor dan Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
“Kita failkan bermula di Johor Bahru kerana siasatan membabitkan juga kes-kes di sini dan premis perniagaan yang disiasat, antaranya berada di Johor Bahru.
“Ini adalah hak tertuduh bagi mempertikaikan penahanan yang dibuat, begitu juga akan ada permohonan bagi mempertikaikan tuduhan di bawah jenayah terancang.
“Ada beberapa afidavit lagi akan difailkan bagi menyokong permohonan habeas corpus sebelum pendengaran kes bersambung pada 4 Disember ini,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg