Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daim nafi perbuatan salah laku, rasuah

Dec 28, 2023 | 5:38 PM
TUN DAIM ZAINUDDIN
TUN DAIM ZAINUDDIN - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Tun Daim Zainuddin menafikan sebarang perbuatan rasuah atau salah laku dalam apa juga bentuk oleh beliau atau keluarganya.

Dalam satu kenyataan, bekas menteri kewangan itu turut menyifatkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai berniat jahat.

Menurut Tun Daim, sehingga hari ini beliau tidak dimaklumkan oleh SPRM tentang kesalahan yang didakwa dilakukannya.

“Namun, terdapat usaha terancang untuk memburukkan saya dengan mengeluarkan maklumat salah dan tanggapan tidak berasas terhadap saya,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Tun Daim berkata beliau memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan kerap berkomunikasi dengan agensi itu melalui peguam.

“Oleh itu, adalah salah nyata bagi “sumber” SPRM untuk mendakwa bahawa saya tidak membuat pendedahan yang betul mengenai butiran kewangan yang dituntut oleh SPRM.

“Saya mengulangi bahawa semua yang diminta secara bertulis oleh SPRM telah didedahkan dan mengikut undang-undang,” katanya.

Tun Daim turut mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana didakwa mengeluarkan kenyataan tanpa asas berhubung siasatan itu untuk memburukkan kredibilitinya.

Beliau berkata tindakan sesuai akan diambil atas perkara itu selepas berbincang dengan peguamnya.

SPRM sebelum ini menyita Menara Ilham di Jalan Binjai Kuala Lumpur yang dilaporkan dimiliki Tun Daim dan keluarganya.

Bangunan 60 tingkat itu disita mengikut Akta SPRM 2009, berhubung siasatan SPRM terhadap bekas menteri kewangan itu.

Beberapa media sebelum ini memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebagai mengesahkan agensi itu menyiasat Tun Daim berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Beliau tidak mengulas lanjut perincian siasatan kes.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg