Seorang datuk mengakui masih terkejut dengan kehilangan cucu kesayangan yang dijaga sejak kecil apabila orang yang melanggar pelajar Tingkatan 3 daripada Sekolah Menengah Padang Kala, Noor Amilia Salwa Mohd Suhairi, itu adalah anaknya sendiri.
Encik Ismail Hassan, 69 tahun, berkata semasa kejadian sekitar 5.30 petang pada 26 April, beliau mulanya dimaklumkan anak keempat daripada tujuh beradik, Encik Muhamad Faris, 33 tahun, mengalami kemalangan di Kampung Kayu Rendang, Melor, Kota Bharu.
“Saya ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan anak selepas dimaklumkan beliau terlibat dengan kemalangan tetapi apabila tiba di sana, rupanya bukan sahaja anak tetapi cucu yang dibesarkan sejak berusia lima tahun turut sama terlibat dalam kemalangan itu.
“Saya dimaklumkan ketika kejadian, anak dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Melor selepas selesai bekerja sebagai tukang rumah di Pasir Pekan, Tumpat.
“Setiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal dipercayai tiba-tiba membelok ke kanan untuk masuk simpang ke kedai mi celup,” katanya, ketika ditemui Sinar Harian di rumah di Kampung Kayu Besar pada 29 April.
Menurutnya, tindakan penunggang motosikal itu dipercayai menyebabkan Encik Muhamad Faris tidak sempat membrek sebelum merempuh motosikal dinaiki Noor Amilia dan mereka terjatuh di atas jalan.
Ujarnya, Encik Muhamad Faris hanya mengetahui mangsa yang dilanggar itu adalah anak saudaranya selepas ambulans tiba.
“Sehingga sekarang, beliau yang mengalami cedera ringan, masih trauma dengan kejadian tersebut dan bersedih dengan kehilangan anak saudaranya,” katanya.
Encik Ismail memberitahu, Noor Amilia dimasukkan ke Hospital Pakar USM (HPUSM) untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan parah di kepala, paru-paru serta patah lengan kanan.
Katanya, cucunya itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 10.30 pagi 28 April dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mukim Haji Hussin Melor Lama.
“Selepas pemergiannya, saya baru teringat Noor Amilia ada memberitahu arwah ayahnya ada memanggil dia. Saya ingatkan itu hanya gurauan.
“Sebelum keluar dari rumah pada petang kejadian, dia ada beritahu teringat kenangan bersama arwah ayah yang meninggal dunia sembilan tahun lalu akibat terjatuh di tempat kerja. Lelaki itu sering membawa pulang mi celup ke rumah untuknya,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg