MELAKA: Dua lelaki didenda RM7,000 ($2,006) oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada 23 Mei atas tuduhan mencuri dua lembu milik peniaga kedai makan pada 10 Mei lalu.
Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Zulikhwan Zolhaisam, 21 tahun, dan Abdul Rahman Ahmad, 57 tahun, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan.
Dalam penghakimannya beliau turut menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh serta hujah pemberatan hukuman dikemukakan pihak pendakwaan.
“Dekat (menjelang) Raya Haji, ada saja kes hilang lembu. Kamu (tertuduh) bukan curi telefon bimbit, ini curi lembu,” katanya ketika menjatuhkan hukuman itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengikut tuduhan, tertuduh didakwa mencuri dua ekor lembu berwarna putih milik Encik Amirul Amin Saharudin, 31 tahun, di kandang lembu Permatang Pasir Permai, dalam daerah Melaka Tengah, pada 10 Mei lalu kira-kira 5.30 petang.
Jika disabitkan tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh mengambil kira fakta kes selain lembu berkenaan sudah dijual kepada individu lain dengan harga RM4,200.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda rendah dengan alasan tidak berkemampuan dengan Muhammad Zulikhwan turut menyatakan isterinya sedang berpantang.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Khairunnisak menjatuhi hukuman denda RM3,500 bagi setiap tertuduh atau empat bulan penjara jika gagal bayar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg