KUALA BERANG (Terengganu): Diberi harapan hanya dapat hidup dua minggu selepas dilahirkan, takdir menentukan Mohammad Hazim Muhaimin Mohamad, yang menghidap sindrom Cornelia de Lange, kini mencapai usia 12 tahun.
Menurut ibunya, Cik Zainab Salim, 55 tahun, dari Kampung Peroh, dekat sini, selepas Hazim dilahirkan doktor menjangka anak bongsunya itu akan hidup selama dua minggu sahaja.
Sindrom Cornelia de Lange adalah gangguan perkembangan yang menjejas banyak bahagian tubuh.
Antara cirinya ialah seperti pertumbuhan perlahan sebelum dan selepas kelahiran yang membawa kepada bertubuh pendek, kecacatan intelek sederhana hingga teruk, dan pertumbuhan tulang tidak normal pada lengan, tangan, dan jari.
Selepas melalui fasa kritikal, anaknya kemudian dijangka dapat bertahan hingga usia enam bulan, kemudian hingga tiga tahun dan terakhir, lima tahun, lapor Berita Harian Malaysia.
“Namun takdir Allah swt mengatasi segala-galanya dan kini usia Hazim sudah menjangkau 12 tahun walaupun dia terpaksa bergantung sepenuhnya pada susu khas dan lampin pakai buang.
“Sejak dilahirkan hingga hari ini, Hazim hanya meminum susu khas dan setiap bulan empat hingga lima tin susu diperlukan,” kata Cik Zainab, yang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 ($42.77) sebulan.
Menurutnya, ketika dilahirkan Hazim hanya seberat 1.2 kg dan kini beratnya hanya 6.8 kg. Anak istimewa itu boleh meniarap ketika berusia tujuh tahun dan kini sudah boleh memanggil Cik Zainab ‘mama’ walaupun tidak sesempurna insan biasa.
“Saya tidak berseorangan dalam membesarkan anak sindrom Cornelia de Lange ini kerana kami mempunyai kumpulan dalam media sosial yang mempunyai anak istimewa ini.
“Melalui perbualan di media sosial, saya boleh menambah pengetahuan tentang penjagaan anak istimewa ini selain berkongsi ilmu baru serta perkembangan terkini anak masing-masing,” ujarnya.
Tambah Cik Zainab, beliau berterima kasih kepada semua doktor yang pernah merawat anaknya sebelum ini kerana dengan dorongan dan kata semangat dapat menguatkan dirinya untuk menerima takdir ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg