BALING (Kedah): Serangan dua ekor anjing jenis Rottweiler di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Kedah semalam, menyebabkan seorang wanita mengalami kecederaan serius apabila bahagian belakang kepalanya terkoyak.
Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, wanita itu sudah menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, petang Selasa, lapor akhbar Berita Harian Malaysia.
Katanya, seorang lagi wanita tempatan, dua lelaki tempatan dan seorang pensyarah berusia 28 tahun dari Mesir, turut cedera dan dirawat di hospital yang sama.
“Difahamkan pensyarah yang mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) sedang berjalan menuju ke surau Taman Desa Bidara untuk menunaikan solat Subuh ketika beliau diserang oleh anjing-anjing terbabit.
“Serangan bermula pada 4.30 pagi, dengan seorang wanita warga emas menjadi mangsa pertama selepas anjing-anjing itu meloloskan diri dari rumah pemiliknya yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
“Anjing-anjing itu kemudian menyerang empat lagi mangsa di tiga lokasi berbeza dalam kejiranan itu, sepanjang tempoh dua jam,” katanya ketika ditemui di taman berkenaan semalam.
Katanya pemilik anjing itu sudah diarah menyerahkannya kepada Jabatan Veterinar Kulim untuk pemeriksaan dan kini dikuarantin selama dua minggu.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah, Dr Shaharul Akmar Talib berkata anjing-anjing itu akan dipantau jika ada tanda jangkitan rabies.
“Perkara ini juga tertakluk kepada undang-undang kecil mengenai pelesenan anjing yang dikuatkuasakan oleh Majlis Daerah Baling,” katanya ketika dihubungi di sini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg