Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak cedera diserang kera liar di Terengganu

Feb 24, 2025 | 2:06 PM
Muhammad Ammar Hakim Sanusi cedera pada bahagian lengan, punggung dan belakang badan akibat digigit dan dicakar seekor kera liar semasa pergi mengaji Al-Quran dekat rumahnya di Taman Madani, Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu, pada 23 Februari.
Muhammad Ammar Hakim Sanusi cedera pada bahagian lengan, punggung dan belakang badan akibat digigit dan dicakar seekor kera liar semasa pergi mengaji Al-Quran dekat rumahnya di Taman Madani, Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu, pada 23 Februari. - Foto GHAZALI SULAIMAN

DUNGUN (Terengganu): Seorang budak lelaki berusia 10 tahun mengalami trauma selepas tiba-tiba diserang seekor kera dalam perjalanan untuk belajar mengaji di Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu, pada 23 Februari.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, mangsa, Muhammad Ammar Hakim Sanusi, cedera pada bahagian lengan, punggung dan belakang badan akibat digigit dan dicakar haiwan liar terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Encik Ghazali Sulaiman, berkata sewaktu kejadian, Muhammad Ammar sedang berlari-lari anak untuk cepat sampai ke rumah guru mengaji Al-Quran yang tidak jauh dari rumahnya.

“Bagaimanapun, seekor kera bersaiz besar tiba-tiba datang menerkam kanak-kanak itu dari arah belakang.

“Berlaku pergelutan dan mangsa yang menjerit kesakitan meronta-ronta untuk melepaskan diri, tetapi kera tersebut terus menyerangnya,” kata beliau, lapor Kosmo!.

Encik Ghazali berkata mangsa bernasib baik apabila ibunya menyedari kejadian itu dan pantas bertindak menyelamatkan anaknya serta menghalau haiwan itu.

Beliau berkata Muhammad Ammar kemudian segera dikejarkan ke klinik dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, untuk menerima rawatan.

Menurut Encik Ghazali, sejurus selepas kejadian itu, beliau menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

“Saya harap Jabatan Perhilitan dapat mengambil tindakan segera supaya kejadian itu tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg