Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua bekas tahanan Guantanamo M’sia dilarang keluar negara 5 tahun

May 8, 2025 | 2:57 PM
Mohamad Nazir Lep (kiri) dan Mohd Farik Amin. 
Mohamad Nazir Lep (kiri) dan Mohd Farik Amin.  - Foto fail

KUALA LUMPUR: Dua suspek pengganas warga Malaysia yang dihantar pulang selepas hampir dua dekad ditahan di Teluk Guantanamo, Cuba, kini dikenakan larangan perjalanan selama lima tahun sebagai sebahagian daripada syarat yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan mengesahkan bahawa larangan itu dikenakan ke atas Mohamad Nazir Lep, 48 tahun, dan Mohd Farik Amin, 47 tahun, yang mengaku bersalah pada 2024 atas peranan mereka dalam pengeboman di Bali yang membunuh lebih 200 orang pada 2002.

“Ia sebahagian daripada persetujuan dengan kerajaan. Mereka mesti kekal dalam negara selama lima tahun termasuk tidak boleh melaksanakan umrah dan haji,” katanya kepada portal TwentyTwo13, lapor Malaysiakini.

“Tiada sekatan untuk perjalanan dalam negara, namun mereka dinasihatkan agar memberitahu polis yang memantau mereka berkenaan lokasi mereka untuk tujuan keselamatan,” ujarnya.

Nazir dan Farik masing-masing dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah tentera Amerika Syarikat pada Januari 2023 selepas mengaku bersalah terhadap lima tuduhan berkaitan penglibatan mereka dalam serangan di Bali.

Sebagai sebahagian perjanjian pengakuan bersalah, mereka bersetuju memberi keterangan terhadap suspek utama, Encep Nurjaman – lebih dikenali sebagai Hambali – sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia pada Disember 2024.

Portal itu turut melaporkan penghantaran pulang mereka dilakukan secara senyap, dengan peguam mereka hanya dimaklumkan di saat akhir.

Nazir, 48 tahun, dan Farik, 47 tahun, adalah antara tujuh individu yang ditahan kerana didakwa terlibat dalam pengeboman di Bali, Indonesia, pada Oktober 2002 yang meragut 202 nyawa, serta pengeboman di Hotel JW Marriott Jakarta pada Ogos 2003 yang mengorbankan 12 orang.

Mereka dilaporkan ditahan di Thailand pada 2003 dan dipindahkan ke lokasi rahsia yang dikendalikan oleh Agensi Risik Pusat (CIA) Amerika sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006, namun tidak pernah dihadapkan ke mahkamah sehingga Januari 2024.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam satu kenyataan pada 18 Disember 2024, berkata kerajaan telah merangka pelan penyepaduan menyeluruh untuk Nazir dan Farik, termasuk perkhidmatan sokongan sosial, bantuan kebajikan, saringan kesihatan dan mekanisme pemantauan melibatkan kunjungan polis secara berkala.

Datuk Saifuddin berkata ia bertujuan membantu mereka membina semula kehidupan selain menghindari mereka daripada kembali kepada kegiatan berkaitan pengganasan.

Sementara itu, portal tersebut memetik Tan Sri Razarudin sebagai berkata kedua-dua lelaki itu sedang memberi tumpuan pada usaha membina semula kehidupan dengan keluarga terdekat.

“Nazir menanam cili dan menternak ayam dan kambing sebagai sebahagian daripada projek yang dimulakan ahli keluarganya.

“Farik pula menjaga ibu bapanya yang sudah tua, masing-masing berusia 83 tahun dan 89 tahun. Buat masa ini, dia hanya ingin bersama mereka,” kata Tan Sri Razarudin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg