Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing menahan dua bot tunda berdaftar Singapura bersama sebuah tongkang kerana disyaki berlabuh tanpa izin di perairan negara pada awal Januari ini.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin, berkata bot-bot itu ditahan oleh pasukan peronda Maritim Malaysia semasa Operasi Jaksa dan Operasi Tiris 3.0, sekitar 11 malam pada 6 Januari.
Pemeriksaan mendapati bot-bot tersebut berada kira-kira 0.4 batu nautika (0.7km) barat laut Pulau Besar dan disyaki tidak melaporkan ketibaan serta berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Hasil pemeriksaan dokumen menunjukkan kesemua 17 kru dari kedua-dua bot tunda itu, termasuk nakhoda, adalah warga Indonesia, berumur antara 34 hingga 51 tahun,” jelasnya dalam kenyataan bertarikh 8 Januari.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. Nakhoda dan semua kru telah ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Mersing untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan selanjutnya.
Komander Maritim Suhaizan menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang aktiviti melanggar undang-undang. Pihaknya kekal komited melaksanakan rondaan dan operasi di seluruh Zon Maritim Malaysia untuk mengekang aktiviti haram di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah maritim atau menghadapi kecemasan di laut digesa menghubungi Pusat Operasi Maritim Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan 999 untuk bantuan segera..


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg