LANGKAWI (Kedah): Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) di sempadan perairan Malaysia – Thailand dekat Langkawi, Kedah, ditamatkan pada 17 November, dengan sejumlah 43 mangsa berjaya ditemui.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki, berkata daripada 43 mangsa yang ditemui, 29 daripadanya didapati lemas, manakala 14 lagi mangsa terselamat.
Menurutnya, operasi itu ditamatkan pada 6.30 petang selepas sembilan hari sejak usaha SAR dijalankan bermula 9 November.
“Kesemua mangsa lemas itu terdiri daripada 15 lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
“Penemuan mangsa sepanjang operasi SAR direkodkan di beberapa lokasi sekitar Pulau Singa Besar, Pulau Rebak Besar, Teluk Apau, barat Tanjung Belua dan Pulau Anak Datai.
“Operasi SAR itu meliputi 1,745.88 batu nautika persegi tanpa sebarang penemuan baru dan semua mangsa yang ditemui telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pengecaman dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada 17 November, lapor Harian Metro.
Lebih 300 pegawai dan anggota serta penggunaan 22 aset meliputi tiga aset udara dan 19 aset laut daripada APMM, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Unit Dron JBPM terlibat dalam operasi itu.
“Pasukan SAR mengoptimumkan segala keupayaan dan aset bagi memastikan setiap sektor pencarian diliputi sepenuhnya,” kata Kepten Maritim Zainudin.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian bot dinaiki Pati yang karam, menjurus kepada unsur jenayah terancang, selain pemerdagangan dan penyeludupan manusia.
Datuk Saifuddin Nasution berkata keutamaan pihak berkuasa ketika ini adalah untuk menguruskan mayat mangsa bot karam itu terutama yang membabitkan wanita dan kanak-kanak.
Selain itu katanya, kejadian berkenaan juga perlu dilihat daripada segenap aspek mengapa ia boleh berlaku.
“Ekosistemnya harus dilihat secara keseluruhan. Orang yang datang itu, keadaan di negara mereka bagaimana, keadaan di kem pelarian bagaimana dan kenapa Malaysia dipilih sebagai destinasi.
“Penyelesaian kita pula adalah kalau berlaku insiden begitu, keutamaan kita adalah menyelamatkan nyawa dahulu,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg