Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua lagi AP Bersatu sokong Anwar

Nov 8, 2023 | 2:46 PM
NYATA SOKONGAN: Dua Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Encik Zahari Kechik (kiri) dan Encik Mohd Azizi Abu Naim (kanan), menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
NYATA SOKONGAN: Dua Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Encik Zahari Kechik (kiri) dan Encik Mohd Azizi Abu Naim (kanan), menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto PARLIMEN MALAYSIA DAN FACEBOOK ENCIK MOHD AZIZI ABU NAIM

KOTA BHARU: Dua lagi ahli politik dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Encik Mohd Azizi Abu Naim dan Encik Zahari Kechik, menjadi Ahli Parlimen (AP) pembangkang terbaru yang mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Encik Mohd Azizi selaku AP Gua Musang di Kelantan dan Encik Zahari, AP Jeli, berkata keputusan diambil bertujuan memastikan kebajikan penduduk di kawasan diwakili terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

“Selepas meneliti dan mendengar pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri dengan matlamat utama untuk memangkin pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan buat rakyat Malaysia, saya selaku Ahli Parlimen Gua Musang dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula Selasa.

“Keputusan ini adalah bagi memastikan kebajikan penduduk di Parlimen saya terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang saya mohon untuk dilaksanakan dalam tempoh penggal perkhidmatan saya,” kata Encik Mohd Aziz lapor Berita Harian Malaysia pada Selasa.

Perkembangan itu adalah susulan terbaru selepas dua AP Bersatu masing-masing dari Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; dan Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, melakukan perkara sama sebelum ini.

Sementara itu Encik Zahari berkata beliau mengambil keputusan itu selepas mempertimbangkan sehabis baik permasalahan yang dihadapi rakyat mengenai kos sara hidup, himpitan mengenai keperluan asas yang perlu dipertingkatkan dan pembangunan yang mesti diteruskan dalam Parlimen Jeli.

“Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi. Dalam alaf serba mencabar ini selaku Ahli Parlimen saya harus memberi khidmat terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli. Namun, saya akan taat, setia dan kekal sebagai Ahli Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada PRU15 lalu, Encik Mohd Azizi menang tipis di Gua Musang dengan majoriti 163 undi menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah daripada Barisan Nasional (BN), manakala Encik Zahari menang kerusi Jeli dengan majoriti 12,464 undi menewaskan calon BN dan Pakatan Harapan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu telah mengambil tindakan terhadap dua APnya susulan pendirian menyokong kepimpinan Datuk Anwar yang melanggar disiplin parti.

Datuk Suhaili telah dikenakan tindakan gantung keahlian selama enam tahun termasuk semua jawatan yang disandangnya dalam parti, berkuat kuasa 7 November, manakala Datuk Iskandar juga dikenakan tindakan sama namun bagi tempoh empat tahun.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan dibuat selepas meneliti laporan pelanggaran disiplin dan perlembagaan oleh Datuk Suhaili dan Datuk Iskandar.

Datuk Suhaili adalah Ketua Bahagian Bersatu Labuan dan Wilayah Persekutuan, manakala Datuk Iskandar adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg